Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menegaskan peluang pelaburan besar ditawarkan Sabah dalam ekonomi biru yang merujuk penggunaan sumber laut dan pantai yang mampan bagi mencapai pembangunan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial tanpa menjejaskan alam sekitar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata anggaran potensi hasil tahunan ikan dan udang di bawah ekonomi biru Sabah adalah lebih daripada 491,000 tan metrik membabitkan nilai RM3.25 bilion.


Namun, beliau berkata sehingga kini kurang daripada 50 peratus daripada potensi tangkapan sedang diterokai dan walaupun terdapat lebih 3,000 kapal nelayan di luar sana, kebanyakannya berada dalam lingkungan 30 nautika batu dari pantai.

“Kini, hanya tujuh kapal keluar ke kawasan laut dalam. Ini peluang untuk industri nelayan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan pemprosesan hasil laut dalam.

“Autonomi diberikan kepada Sabah untuk meluluskan dan mengeluarkan lesen bagi aktiviti maritim seperti menangkap ikan di laut dalam, adalah satu rahmat kepada negeri ini dalam usaha untuk membangunkan ekonomi biru kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan terdapat lebih banyak lagi aspek dalam ekonomi biru yang boleg diteroka, selain menangkap ikan di laut dalam.

Malah, katanya terdapat 14 komponen ekonomi biru boleh diterokai antaranya tenaga lautan boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim, bioteknologi marin dan sebagainya.

Beliau berkata, terdapat juga kemungkinan menarik untuk menuai tenaga melalui lautan.

“Pada April tahun ini, kami meluluskan Akta Penukaran Tenaga Terma Lautan (OTEC) yang membolehkan Suruhanjaya Tenaga Sabah meneroka tenaga haba lautan penukaran sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau menjelaskan, teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara permukaan lautan hangat dan perairan dalam yang sejuk untuk menjana tenaga elektrik tanpa memerlukan bahan api.

“Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk menubuhkan pasukan petugas untuk menangani semua keperluan perniagaan anda, jadi anda tidak perlu berurusan dengan kelewatan untuk memulakan perniagaan anda.

“Contoh yang baik ialah pelaburan Sabah Kibing Solar dan SK Nexilis Copper Foil yang hanya mengambil masa lapan bulan untuk memulakan operasi,” katanya.

Hajiji turut menyatakan keyakinan SIBEC 2024 akan menjadi pemangkin untuk memajukan platform ekonomi biru untuk berinteraksi dengan pengetahuan global dalam bidang ini, menarik minat tempatan dan pelabur antarabangsa serta pemain industri.-BH Online