Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Malaysia mengutuk keras pembunuhan kejam pemimpin Hamas, Yahya Sinwar oleh rejim Zionis, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan di Facebook, Anwar menekankan bahawa komuniti antarabangsa sekali lagi gagal memperjuangkan keamanan dan keadilan, yang memburukkan lagi situasi konflik di Palestin.

Walaupun demikian, beliau menegaskan usaha rejim Zionis untuk melemahkan tuntutan pembebasan Palestin tidak akan berjaya.

“Malaysia berduka atas kehilangan pejuang dan pembela rakyat Palestin, Al Syahid Yahya Sinwar, yang dibunuh ganas oleh rejim biadab Zionis,” katanya hari ini.

Perdana Menteri turut mendesak agar komuniti antarabangsa segera menyanggah kebiadaban Israel serta menghentikan pembantaian berterusan terhadap warga Palestin.

Kematian Yahya Sinwar disahkan oleh Hamas, yang menegaskan walaupun pemimpin mereka terbunuh, perjuangan untuk kemerdekaan Palestin tidak akan terhenti.-Berita RTM