Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminda Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 untuk mengemaskini badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini berikutan JAKIM sudah mengiktiraf tambahan lima badan pensijilan halal luar negara masing-masing satu dari Brazil, Mongolia dan Uruguay serta dua dari Russia.

“Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM adalah sebanyak 88 pihak berautoriti merangkumi 49 negara di seluruh dunia.

“KPDN berharap supaya dengan pewartaan pindaan ini dapat memperkasakan perundangan dan industri halal negara selain melindungi kepentingan pengguna terutama yang beragama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata pindaan Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 sudah diwartakan pada 4 Oktober lalu dan berkuat kuasa sehari kemudian. 

Sementara itu, mengenai penguatkuasaan berkaitan halal, Armizan berkata bermula 1 Januari hingga 30 September lalu, sebanyak 53 kes dikesan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1.81 juta. 

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan penggunaan logo halal palsu, tidak menggunakan perakuan halal daripada pihak berkuasa berwibawa dan sebagainya.

“Justeru, diharapkan semua pihak dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama berhubung isu halal ini.

“Kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak yang berkaitan dan boleh didenda,” katanya. 

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga tidak melebihinRM200,000 bagi pihak syarikat manakala untuk kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000. 

“Manakala bagi pihak individu pula boleh didenda 

tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-BH Online