Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 646 kes ketirisan data dicatatkan pada tahun lalu, meningkat lebih 92 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata pada 2022 hanya 50 kes dicatatkan manakala sehingga September tahun ini, terdapat 427 kes.

Katanya, isu ketirisan data ini memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

“Ketirisan data boleh menyebabkan pendedahan maklumat sensitif seperti butiran peribadi rakyat, maklumat rahsia kerajaan serta maklumat keselamatan yang boleh dimanipulasi oleh pelaku ancaman atau penggodam.

“Hal ini boleh membuka ruang kepada ancaman siber seperti risiko pengintipan, serangan penggodaman dan penyalahgunaan data yang akan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan langkah kementerian untuk mengekang insiden data sektor kerajaan didagangkan dalam ‘dark web’ serta implikasi ketirisan data kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, antara implikasi ketirisan data lain adalah pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menggunakan data terdedah untuk melakukan jenayah siber seperti pencurian identiti dan serangan terhadap infrastruktur kritikal negara.

“Tambahan pula, ketirisan data berpotensi merugikan ekonomi negara dan mencipta suasana ketidakstabilan.

“Oleh itu, langkah proaktif akan sentiasa diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan risiko kebocoran data dan memastikan keselamatan maklumat

negara terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata beberapa langkah pemantauan dan pengesanan ancaman siber bagi mengekang insiden data sektor kerajaan didagangkan dalam dark web juga telah dilaksanakan oleh kementerian.

Antaranya, katanya, adalah menubuhkan pusat pemantauan yang aktif bagi mengawasi kegiatan mencurigakan di dark web, dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan dan Teknologi Pre-Emptif, CyberSecurity Malaysia.

Selain itu katanya, menjalankan analisis data dan mengumpul maklumat mengenai kebocoran data yang membabitkan kementerian dan agensi kerajaan.

“Menyediakan garis panduan dan latihan kepada kakitangan kerajaan mengenai isu keselamatan siber serta langkah pencegahan kebocoran data.

“Bekerjasama dengan agensi lain dan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap sebarang insiden kebocoran data,” katanya.-BH Online