Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengoperasian fasa satu Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA) akan bermula 1 Februari ini dengan membabitkan pengambilalihan lima pintu masuk sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata lima pintu masuk berkenaan adalah di Rantau Panjang, Kelantan; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk di kompleks kargo dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru.

Dua lagi kata beliau, adalah di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah.

“Apa justifikasi kita pilih lima kerana ia sejajar dengan keputusan Jemaah Menteri pada 24 Julai lalu dengan mengambil kira bahawa lima pintu masuk ini mempunyai ciri-ciri demografi dan risiko yang berbeda, ada laut dan darat.

“Operasi di pintu masuk pada fasa pertama ini membolehkan agensi ini membuat analisis dan menambah baik, sebelum kita buat ‘roll out’ ke semua pintu masuk yang lain,” katanya menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang bertanyakan status terkini pengoperasian MCBA pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. 

Saifuddin berkata urusan persiapan untuk memulakan operasi di lima pintu masuk ini membabitkan pembangunan prosedur operasi standard (SOP) pelbagai jabatan dan agensi yang akan bertugas di sempadan. 

“Kita akan membangunkan juga arahan tetap Ketua Pengarah MCBA untuk kita guna pakai. 

“Jadi selain kita memuktamadkan SOP dan juga arahan tetap Ketua Pengarah ini, dari segi pentadbiran, agensi ini juga akan memberi fokus untuk menyelesaikan isu sumber manusia, aset dan kewangan untuk memastikan proses transisi operasi pintu masuk ini lancar.

“Buat masa sekarang, kita ada 78 kekuatan kakitangan, bila ‘roll out’ sepenuhnya, kita akan ada 13,420 kakitangan. Itu angka yang kita sasarkan dan sekali gus pengambilan aset pun akan berlaku secara berperingkat juga,” katanya. 

Terdahulu, Saifuddin berkata Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan (AKPS) diluluskan Parlimen pada 1 Ogos tahun lalu dań RUU itu sedang berada diperingkat menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, seterusnya proses pewartaan. 

Katanya, MCBA akan menyelaras sebarang aktiviti operasi khas berkaitan dengan kawalan dan perlindungan sempadan negara membabitkan jabatan dan agensi rakan strategik yang selari dengan undang-undang, berkuat kuasa melalui mesyuarat-mesyuarat diadakan mengikut kesesuaian.

Ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan MCBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.-BH Online