Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia sedia meneroka potensi besar industri halal di Filipina selaku destinasi eksport kelapan terbesar dunia bagi negara dalam sektor itu, selain keempat di ASEAN,

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia susulan perbincangan beliau bersama Technical Education and Skills Development Authority (TESDA) pada hari terakhir lawatannya ke Filipina, hari ini.

“Dalam perbincangan ini, kami turut menyentuh potensi besar industri halal di Filipina. Dengan kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal melalui JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan kerjasama bersama TESDA, kita dapat membangunkan ekosistem halal yang lebih kukuh di Filipina. 

“Filipina kini menjadi destinasi eksport halal Malaysia kelapan terbesar dunia dan keempat di ASEAN, dengan peningkatan 7.4 peratus pada 2023.

“Kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada Malaysia dan Filipina dalam memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran serantau,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Perbincangan bersama TESDA turut berkisar mengenai aspek pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di mana kedua-dua pihak sepakat bahawa pertukaran kepakaran dan program latihan bersama dapat meningkatkan kemahiran rakyat dan membuka peluang dalam pasaran global.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Filipina dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau, termasuk memainkan peranan dalam membangunkan sektor perbankan digital negara itu.

Beliau berkata, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam menyokong usaha Filipina memperkukuh keterangkuman kewangan.

Memberi contoh CIMB Kababayan yang dilancarkan beliau di Manila hari ini, katanya ia satu inisiatif baharu oleh CIMB Bank Filipina yang merupakan satu pencapaian penting bagi Malaysia.

“Inisiatif ini direka khas untuk memenuhi keperluan kewangan Pekerja Filipina di Luar Negara (OFW) dan keluarga mereka dengan menawarkan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, selamat, dan inovatif.

“CIMB Kababayan membolehkan OFW membuka akaun simpanan menggunakan nombor antarabangsa, memberi mereka lebih banyak pilihan dalam menguruskan kewangan. 

“Pelancaran ini melambangkan komitmen Malaysia dan Filipina dalam menyokong kesejahteraan rakyat,” katanya melalui kenyataan sempena lawatan beliau ke Filipina.

Turut hadir bersama beliau adalah Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony; Setiausaha Jabatan Pekerja Migran, Hans Leo Cacdac serta Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank PH, Vijay Manoharan.

Mengulas lanjut, Ahmad zahid berkata, inisiatif itu juga mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan Filipina. 

“CIMB Bank Filipina, sebagai bank digital pertama di negara ini sedang mentransformasi perkhidmatan perbankan dan pengiktirafan sebagai Bank Nombor 1 di Filipina oleh Forbes pada 2023 serta 117 anugerah antarabangsa adalah bukti komitmen mereka terhadap inovasi.-BH Online