Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenal dua strategi interim untuk melindungi pengguna berkaitan hak tebus rugi terutama bagi pembelian kenderaan bermotor sebelum kerangka perundangan baharu berhubung Lemon Law dimuktamad.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata menerusi kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, strategi itu bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memproses permohonan surat persetujuan daripada pengguna, selain institusi perbankan terbabit diminta menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima serta memproses permohonan itu.

“Bermula 2 September lalu, pihak BNM sudah keluarkan arahan meminta bank dan institusi kewangan mewujudkan SOP bagi membolehkan pengguna memohon serta mendapatkan surat persetujuan. 

“Susulan kerjasama itu, BNM mengarahkan institusi perbankan melaksanakan kedua-dua inisiatif sebelum 3 Disember ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan syarikat Carsome Group di sini hari ini.

KPDN sedang mengkaji pelaksanaan dan penguatkuasaan perundangan berkaitan Lemon Law di Malaysia yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan lain untuk mendapatkan remedi bagi produk yang berulang kali rosak serta gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

Remedi yang boleh dituntut di bawah Lemon Law membabitkan pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik.

Armizan berkata, strategi itu adalah inisiatif intervensi oleh kerajaan bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada penyelesaian yang adil dan berkesan sebelum pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini melalui perundangan sedia ada, platform untuk pengguna menuntut hak mereka ialah Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM). 

Katanya, melalui strategi itu, mereka boleh mendapatkan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi selaras prinsip perlindungan pengguna di negara ini. 

“Mulai Januari hingga Ogos lalu, KPDN menerima 114 jumlah pemfailan tuntutan tebus rugi bagi kenderaan dan 187 pemfailan membabitkan kenderaan terpakai di TTPM, manakala 16 aduan lain diterima dirujuk kepada pasukan rundingan khas setakat Januari hingga September lalu,” katanya. – BERNAMA