Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings oleh kerajaan Sarawak akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Premier Sarawak itu berkata, kerajaan Sarawak kini dalam peringkat rundingan lanjutan dengan beberapa pihak berkepentingan.

Ia membabitkan Malaysian Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional Bhd dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAB).

“Ketika ini, kita masih dalam peringkat rundingan lanjutan dan saya yakin ia akan ditamatkan tidak berapa lama lagi, Insya-Allah,” katanya dalam ucapan sempena Rapat Umum dan Perhimpunan Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Rapat umum dan perhimpunan raksasa itu adalah yang pertama diadakan sejak Wan Junaidi dilantik sebagai ketua negeri pada 26 Januari lalu.

Acara gemilang penuh warna warni itu yang disaksikan kira-kira 10,000 warga bandar raya dan pelancong itu dimulakan pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh pegawai dan anggota Batalion Ke-20, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Sambutan diteruskan dengan perarakan oleh 78 kontinjen membabitkan pasukan beruniform, agensi kerajaan dan swasta disusuli dengan 17 das tembakan meriam.

Kerajaan Sarawak berusaha mengambil alih syarikat MASwings untuk menjadikannya sebagai sebuah syarikat penerbangan butik bagi meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan udara ke negeri itu.

Abang Johari berkata, Sarawak memerlukan khidmat penerbangan yang berada di kawalannya sendiri bukan sekadar sebagai kemudahan untuk membawa penumpang keluar dan masuk.

“Tetapi yang lebih penting ia satu pelaburan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan rantaian khidmat sokongan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kajian pembangunan lapangan terbang antarabangsa Kuching yang baharu kini sedang giat dijalankan.

Menurutnya, lapangan terbang itu mengambil yang Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar sebagai model. 

“Lapangan terbang ini nanti akan dilengkapkan dengan kemudahan yang tercanggih sejajar dengan sasaran untuk membangunkan lapangan terbang sebagai hub penerbangan serantau,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, penubuhan Borneo Supply Base susulan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak adalah langkah bersejarah selepas 40 tahun kewujudan industri petroleum di luar pantai Sarawak.

Hal ini kerana, katanya perkhidmatan perkapalan kepada industri petroleum sebelum ini berpusat di Labuan.

“Saya menjangkakan aktiviti dan khidmat perkapalan di Pelabuhan Bintulu akan meningkat dengan pelancaran Borneo Supply Base yang dikelolakan di bawah Lembaga Pelabuhan Bintulu.

“Penubuhan Borneo Supply Base ini untuk menyediakan perkhidmatan kepada industri petroleum di Sarawak sudah pasti akan memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak keseluruhannya nanti,” katanya.-BH Online