KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah membangunkan mekanisme pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dengan mengadaptasi Konsep Peluasan Tanggungjawab Pengeluar atau Extended Producer Responsibility (EPR) dan Perkongsian Tanggungjawab (Shared Responsibility).
Perkara itu bagi mewujudkan sistem pengurusan e-waste lebih holistik.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia membabitkan tanggungjawab bersama-sama antara pengeluar, pengimport, pengguna, pusat pengumpulan berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), serta pusat pemerolehan e-waste yang dilesenkan.
“Apabila EPR dilaksanakan ia juga menjadi tanggungjawab kepada pihak PENGELUAR. Kita sudah lihat perkara ini banyak dilaksanakan di negara lain.
“Jadi sekiranya perka ini dilaksanakan ia akan mewujudkan satu tanggungjawab kepada pengeluar untuk melupuskan barangan yang dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jom E-Waste sempena Hari E-Waste Antarabangsa di ibu negara.
Dalam pada itu kementeriannya juga dalam usaha memastikan ekonomi kitaran dalam pengurusan e-waste di negara ini dapat beroperasi dengan lancar dan berjaya.-Berita RTM