Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PONTIAN: Bekalan beras putih negara masih mencukupi untuk menampung keperluan rakyat walaupun kira-kira 6,000 hektar jelapang padi di Kedah dan Perlis, ditenggelami banjir, bulan lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata setakat ini bekalan beras putih negara tidak terjejas langsung akibat bencana itu berikutan negara mengimport lebih 40 peratus makanan ruji berkenaan.

Beliau yang mengakui masalah beras negara antara yang paling besar dan mencabar untuk diatasi, berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mempunyai kaedah bagi memastikan ia sentiasa mencukupi termasuk mendapat tawaran mengimport beras dari beberapa negara lain.

“Faktor yang menyumbangkan kepada kekurangan ketara bekalan beras dihasilkan negara kerana berlaku kemarau pada 2021 dan 2022 di Kelantan hingga menjejaskan jelapang padi di sana.

“Tahun ini pula berlaku banjir luar jangka lebih awal iaitu bulan lalu, ketika padi sedang menguning di Kedah menyebabkan petani tidak sempat menuai hasil.

“Bagaimanapun, Insya-Allah bekalan beras kita masih mencukupi, apatah lagi India menawarkan kita tambahan import beras sebanyak 200,000 tan lagi baru-baru ini selain Pakistan juga menawarkan beras putih untuk diimport Malaysia.

“Malaysia turut mengimport beras dari Thailand dan Vietnam yang sentiasa ada, namun jika berlaku insiden luar jangka yang menganggu keterjaminan makanan negara termasuk beras, kita ada perjanjian dan rundingan dengan beberapa negara bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Agropelancongan Kampung Parit Jerman, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali.

Pada 30 September lalu, banjir yang melanda kawasan jelapang padi seluas kira-kira 6,000 hektar di Kedah dan Perlis dilaporkan dianggar menyebabkan kerugian mencecah RM40 juta kepada pesawah.

Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan menyediakan bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi mengurangkan beban kerugian ditanggung pesawah.

Sementara itu, Mohamad berkata, harga beras import turut dijangka turun sedikit di pasaran.

Katanya, ia disebabkan matawang negara semakin mengukuh menyebabkan penurunan harga barangan import.

“Kita jangka harga beras import di pasaran turun sedikit berikutan prestasi matawang kita yang semakin mengukuh dan positif,” katanya.-BH Online