Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

VIENTIANE: Malaysia menekankan kepentingan mempertahan prinsip kebebasan ASEAN yang berhak untuk meneruskan hubungan baik dua hala dengan semua negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri dalam semua sidang kemuncak dan pertemuan dua hala yang dihadirinya sejak tiga hari lalu.

“Kita meneruskan hubungan baik dua hala dan juga rakan baik, Amerika Syarikat (AS) atau Kesatuan Eropah (EU).

“Pada masa sama, kita juga meningkatkan hubungan dengan China atau meneruskan hubungan dengan Myanmar supaya kita dapat menjalin kerjasama bagi menyelesaikan masalah serta kemelut politik yang rumit di negara itu.

“Malaysia juga mempunyai hubungan dengan Russia, yang tidak disenangi beberapa negara Barat tetapi saya tekankan sebagai negara bebas dan berdaulat, kita berhak menjalin hubungan dengan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sepanjang sidang kemuncak berkenaan, beliau menghadiri 12 Sidang Kemuncak ASEAN antaranya dengan Amerika Syarikat (AS), Australia, China, India, Jepun, Kanada, Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak ASEAN-Asia Timur.

“Alhamdulillah, kita juga memanfaatkan sidang kemuncak ini dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama beberapa negara.

“Tahun depan, ketika kita mempengerusikan ASEAN, kita akan luncurkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan ini satu kesepakatan yang sangat baik,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia akan cuba mempercepat keanggotaan Timor Leste dalam ASEAN, namun negara itu harus memenuhi beberapa syarat.

“Di bawah Kementerian Luar, kita akan cuba bantu percepat proses. Kebanyakan kekangan adalah berkaitan peraturan ekonomi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) akan bantu mereka dalam usaha meluluskan beberapa prasyarat yang banyak ditekankan,” katanya.-BH Online