KUALA LUMPUR; Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) edisi ke-15 telah menjana lebih RM5 bilion potensi perniagaan, satu pencapaian penting ke arah masa depan lebih hijau bagi Malaysia dan wilayah sekitarnya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kejayaan IGEM tahun ini juga terbukti menerusi penyertaan luar biasa dengan lebih 58,414 pengunjung dari 55 negara dan 485 reruai yang mempamerkan pelbagai penyelesaian inovasi.
“Kami berbangga menjadi tuan rumah kepada 50 syarikat antarabangsa dari Austria, Kanada, Finland dan Sweden yang menjadi sebahagian daripada delegasi khusus.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada 13 rakan program dan rakan media kami serta rangkaian rakan media hijau kerana menjadi sebahagian komponen dalam kejayaan IGEM tahun ini,” katanya ketika berucap di majlis penghargaan minum petang penutup IGEM 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Beliau berkata, acara tiga hari bertemakan ‘Race Towards Net Zero; Regional Leadership for Climate Urgency’ itu juga menerima pengiktirafan penting daripada ‘Malaysia Book of Records’ sebagai pameran teknologi hijau paling lama berlangsung.
Nik Nazmi berkata, pencapaian itu menandakan komitmen tidak berbelah bahagi pihaknya dalam mempromosikan amalan mampan dan kesungguhan kementerian melaksanakan agenda kerajaan sejak 15 tahun lalu berhubung teknologi hijau dan penyelesaian mampan.
“Tahun ini kita memperkenalkan dua sidang kemuncak baharu iaitu Persidangan Peralihan Tenaga Bersih Asia (CETA) dan Pameran Mobiliti X yang menampilkan penyelesaian dan teknologi terkini.
“Acara ini memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam peralihan global ke arah tenaga bersih dan inovasi mobiliti mampan,” katanya.
Nik Nazmi juga berkata, ketika Malaysia bersedia untuk menyertai Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) di Baku, Azerbaijan, pencapaian di IGEM 2024 ini mengukuhkan lagi komitmen terhadap tindakan iklim.
Beliau berkata, prapelancaran pavilion Malaysia bagi COP29 juga menandakan kesediaan pihaknya untuk terlibat dalam perbincangan penting iklim dunia terutama mengenai pembiayaan, kerugian dan kerosakan serta mencapai sasaran iklim.
“Kita telah menyaksikan minat antarabangsa yang mendalam terhadap sektor teknologi hijau Malaysia dengan pelabur dan pihak berkepentingan tertarik dengan dasar dan insentif kita yang sangat mendukung.
“Memorandum persefahaman (MoU) dan peluang perniagaan yang dimeterai di IGEM ini adalah bukti kepada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau,” katanya.
Selain itu, beliau berkata IGEM 2024 juga menekankan mengenai kepentingan amalan ekonomi kitaran, memastikan sumber digunakan secara cekap dan sisa buangan diminimumkan dengan komitmen untuk kelestarian pengeluaran dan penggunaan yang akan terus menjadi fokus utama dalam usaha mengintegrasikan kitaran dalam industri dan komuniti. -BERNAMA