Iskandar Puteri : Industri pelancongan Johor dijangka terus berkembang dan lebih rancak mencapai agenda Tahun Melawat Johor 2026, dengan pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata semua pemain industri berkenaan diingatkan untuk mempersiapkan diri bagi menyambut jutaan pelancong ke negeri ini.
Katanya mereka perlu mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf kemudahan dan fasiliti, selain melatih tenaga kerja bagi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan.
“Kita sedang membuat persiapan untuk Tahun Melawat Johor 2026 dan saya berharap pemain industri bersedia untuk menawarkan perkhidmatan terbaik mereka dalam bidang perhotelan.
“Sektor pelancongan adalah antara yang paling teruk terjejas semasa pandemik Covid-19 apabila ramai yang hilang pekerjaan dan beberapa hotel ditutup.
“Bagaimanapun, industri ini kembali membangun dan menjadi antara industri yang paling pesat berkembang di Johor, dan pelancaran SFZ dan JS-SEZ akan mengukuhkan lagi sektor ini.
“Persatuan Hotel Malaysia (MAH) perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan misi ini dan bilik hotel anda akan menjadi penting pada tahun-tahun akan datang.
“Jadi, penting untuk semua hotel memberikan yang terbaik dari segi kemudahan dan tenaga kerja bagi mengalu-alukan kemasukan pelancong,” katanya ketika berucap pada program Larian Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor Chapter 2024 di sini malam tadi.
Sementara itu, Naib Presiden MAH, Lim Choong Sean memuji kepimpinan Onn Hafiz kerana memacu industri ke hadapan dengan mempromosikan tawaran pelancongan Johor.
“Onn Hafiz sangat menekankan semangat kekitaan yang kuat dalam komuniti hotel amat penting untuk mengekalkan kaki tangan dalam industri yang sering menghadapi situasi pekerja berhenti kerja.
“Industri perhotelan Johor terus berkembang dengan bilangan bilik kedua tertinggi di Malaysia, berjumlah 18,654 selepas Kuala Lumpur.
“Johor juga mempunyai keahlian keempat terbesar di bawah MAH,” katanya.-Harian Metro Online