Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan akan menjadi tumpuan utama untuk dibahaskan dan diputuskan dalam sidang Parlimen minggu hadapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tumpuan pindaan itu diberikan dalam usaha membolehkan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang atau secara automatik.null

Sebelum pindaan itu dilakukan, beliau berkata, anak yang lahir di luar negara akan mendapat kewarganegaraan secara pendaftaran iaitu dilakukan melalui permohonan.

“Bagaimanapun kali ini, apabila pindaan rang undang-undang ini diluluskan dengan sokongan dua pertiga Ahli Dewan, anak ini akan mendapat status kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang atau automatik.

“Ia akan dikuatkuasakan sebaik saja Dewan Parlimen, Rakyat dan Negara meluluskan pindaan ini,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pindaan yang akan dibahaskan itu sudah melalui proses yang panjang dan sudah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja. 

“Itu sudah berlangsung tidak kurang tiga pusingan. Sebelum pindaan sampai ke tahap ini, ia juga sudah dibentangkan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak di mana kedua-duanya juga sudah memberikan lampu hijau.

“Malah libat urus dengan badan bukan kerajaan, masyarakat sivil, individu, aktivis dilakukan secara intensif sekali dan ini adalah peringkat terakhir sebelum di bawa ke Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata, apabila pindaan ini diluluskan, anak-anak akan mendapat status mereka sebagai warga negara dengan segera, iaitu suatu perkara yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak.

“Ini sebahagian daripada janji Kerajaan MADANI dan kami tunaikan.

“Saya percaya Ahli Parlimen akan letak kepentingan rakyat sebagai keutamaan, jauh mengatasi daripada sentimen dan kepentingan kita sendiri. 

“Saya yakin ini keputusan yang betul, tugas Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Dalam Negeri yang diberikan tugas adalah untuk melengkapkan proses itu.

“Mudah-mudahan kelulusan diperoleh akan beri manfaat besar kepada rakyat Malaysia yang terbabit,” katanya.-BH Online