Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

VIENTIANE, Laos: ASEAN mesti kekal bersatu dan sebarang perpecahan dalam blok serantau ini berisiko dieksploitasi, yang boleh merugikan keutamaan dan kesatuan ASEAN, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri berkata, ketika ketegangan global terus meningkat dan polarisasi dilihat mengatasi integrasi, perpecahan dalam ASEAN berisiko dieksploitasi sehingga merugikan keutamaan dan kesatuan ASEAN.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita, negara anggota ASEAN untuk menolak perkara yang cenderung menyebabkan perpecahan.

“Justeru, ASEAN mesti tegas dan berpendirian dalam menghantar mesej yang jelas kepada dunia yang ASEAN mesti kekal bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi plenari di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, hari ini.

Penting kukuh hubungan dengan rakan dialog

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, seperti mana keamanan dan kestabilan penting untuk pertumbuhan dan kemakmuran berterusan rantau ini, adalah penting bagi ASEAN untuk terus memupuk dan mengukuhkan hubungan dengan rakan dialog serta luarnya. 

“Kita tidak boleh memandang remeh kepentingan dialog dan kerjasama sebagai asas persahabatan serta hubungan yang baik. 

“Justeru, kita menggalakkan rakan dialog untuk menguruskan perbezaan mereka demi mencapai hasil yang positif,” katanya. 

Menjelang kepengerusian ASEAN pada tahun depan, Perdana Menteri berkata, Malaysia komited untuk membina masa depan yang lebih inklusif dan mampan bagi rantau Asia Tenggara. 

Katanya, Malaysia yakin ASEAN akan berada pada kedudukan yang lebih kuat untuk mendepani cabaran dan menyambut peluang yang akan datang, terutama ketika menyambut ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN tahun depan. 

“Kita menantikan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategiknya diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. 

“Dokumen ini akan merangka laluan strategik bagi rantau ini pada tahun akan datang dan mencerminkan harapan rakyat kita untuk sebuah rantau yang aman, stabil dan makmur, yang akan memberi sumbangan positif kepada pembangunan global,” katanya.

Pada sidang plenari itu, Perdana Menteri turut merakamkan rasa simpati kepada Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam yang terjejas akibat Taufan Yagi, baru-baru ini, dan menyatakan kesediaan Malaysia untuk memberi sokongan melalui usaha pemulihan.

Sidang Kemuncak ASEAN bermula

Terdahulu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan membuka tirainya pagi tadi di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, dengan kehadiran lebih 2,000 delegasi.

Majlis bermula dengan sambutan kehadiran ketua negara ASEAN, termasuk Anwar yang disambut Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.

Antara ketua negara ASEAN lain yang hadir termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

Indonesia pula diwakili Naib Presiden, Ma’ruf Amin yang mewakili Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Sejurus selepas majlis pembukaan, Perdana Menteri menyampaikan kenyataan negara pada sesi plenari ketua negara ASEAN.

Selepas itu, Perdana Menteri dijangka menghadiri beberapa Sidang Kemuncak Berkaitan, termasuk Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN dengan Wakil ASEAN Inter-Parliamentary (AIPA), Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Belia ASEAN.

Perdana Menteri juga dijangka mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmão dan Lawrence.

Pada malam ini, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud di Rumah Malaysia di sini.-BH Online