Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 8 Oktober– Syarikat berteknologi tinggi di China, ISVision (Hangzhou) Technology Co Ltd menyatakan minat untuk memasuki pasaran Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Hasrat untuk memasuki pasaran negara itu dinyatakan ketika Dr Zaliha mengadakan lawatan ke syarikat berkenaan dan Dahua Technology di Hangzhou hari ini.

“ISVision adalah syarikat berteknologi tinggi dalam ‘industrial machine vision’ yang memfokuskan pembuatan automobil serta pengoperasian kereta api.

“Mereka juga berminat untuk memasuki pasaran Malaysia sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan ke negara ASEAN dengan potensi Malaysia sebagai hab ASEAN untuk syarikat tersebut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Dr Zaliha berkata perbincangan bagi meneliti potensi pelaburan berterusan dan pengembangan perniagaan Dahua Technology di Malaysia turut diadakan.

Dahua Technology merupakan penyedia global perkhidmatan Internet benda (IoT) berasaskan video sejak 2001 dan kini sedang beroperasi di Malaysia melalui anak syarikatnya, Dahua Security Malaysia Sdn Bhd, di Petaling Jaya, Selangor.

Beliau turut dijadualkan bertemu Mayor Yao Gaoyuan, Datuk Bandar Hangzhou untuk perbincangan lanjut berkenaan projek KL20 hari ini.

Dr Zaliha dalam rangka lawatan kerja rasminya selama enam hari ke China bermula semalam sebagai usaha meneroka peluang kerjasama bandar pintar dan pelaburan teknologi dengan China.