VIENTIANE: Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan, yang bermula esok diharap akan menjadi platform untuk menyelesaikan konflik dalaman Myanmar, yang kini turut memberi masalah kepada negara lain di rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata negara bersempadan dengan Myanmar kini berdepan isu dengan negara itu, terutama ketika Myanmar kini menjadi negara utama dalam kegiatan jenayah seperti pemprosesan dadah, penipuan kerja dan perjudian dalam talian.
Mohamad berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN yang dihadiri beliau hari ini, yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN.
“Isu dalaman Myanmar ini sudah menjadi (masalah) rentas sempadan. Negara bersempadan dengan Myanmar berdepan masalah akibat isu dalaman mereka.
“Jadi, kita mahu supaya isu Myanmar ini dapat ditangani secara bersama oleh anggota ASEAN, yang mana asasnya bertunjangkan kepada Konsensus Lima Perkara (5PC).
“Kita mengguna pakai Mekanisme Troika (merujuk tiga negara yang menjadi tuan rumah ASEAN pada tahun lalu (Indonesia), tahun ini (Laos) dan tahun depan (Malaysia)) yang menjadi badan utama dimandatkan ASEAN untuk berunding dengan Myanmar.
“Jadi, kita menggesa supaya Myanmar segera menerima pandangan kita. Mereka tidak boleh kata tidak menerima 5PC kerana ketua negara mereka juga adalah penandatangan pada 2021,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas Mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, hari ini.
Mohamad turut menghadiri Majlis Komuniti-Keselamatan ASEAN (APSC) K-28 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) Ke-35.
Selain itu, Mohamad berkata, mesyuarat hari ini juga turut membincangkan mengenai keanggotaan Timor Leste dalam ASEAN, yang sehingga kini masih belum dapat direalisasikan.
Mohamad berkata, keputusan mengenai keanggotaan Timor Leste memerlukan persetujuan secara konsensus ASEAN, justeru pandangan yang berbeza oleh negara anggota kadangkala menyukarkan blok itu mencapai kata sepakat.
“Jadi, kita cuba supaya kata sepakat ini dapat dicapai untuk memastikan Timor Leste dapat masuk, yang mana ia menambah nilai kepada keluarga ASEAN yang besar.
“Pada masa sama, banyak perkara yang Timor Leste perlu ambil maklum dan membuat pelbagai perubahan di peringkat mereka, terutama dari segi dasar,” katanya.
Katanya, mesyuarat juga turut membincangkan isu lain, seperti teknologi, teknologi hijau dan rentas sempadan, selain memuktamadkan dokumen yang akan dibawa ke Sidang Kemuncak.-BH Online