PUTRAJAYA: Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula seawal minggu keempat bulan ini berbanding ramalan awal minggu pertama November, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kesiapsiagaan di pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dipertingkat khususnya dalam mendepani risiko banjir besar di kawasan dikenal pasti berisiko.
“Monsun Timur Laut lazimnya berlaku pada minggu pertama November tetapi disebabkan perubahan cuaca, ada kemungkinan MTL bermula lebih awal iaitu pada minggu keempat Oktober ini.
“Kesiapsiagaan harus dilakukan antaranya bagi Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mengenal pasti kawasan berisiko terutama di kawasan banjir termenung.
“Ini banyak berlaku di Pantai Barat Semenanjung dari Perlis hingga Johor.
“Kesiapsiagaan ini kita mobilisasikan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri. Kita tidak menolak takdir Allah tetapi kita berusaha kurangkan risiko terutama banjir,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, bilangan petugas membabitkan agensi penguatkuasaan mencukupi dan akan digerak ke seluruh negara.
“Kita tak mengira negeri atau lokasi tetapi mobilisasi ini dilakukan secara berstruktur, selain turut mendapat bantuan agensi bukan kerajaan (NGO).
“Ini yang sedang dilakukan dan mangsa jangan hanya mengharapkan agensi bantuan datang tetapi perlu membantu diri sendiri,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, orang awam perlu bersiap siaga dari sekarang dalam usaha mengurangkan risiko bencana yang lebih besar.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran awal lima hari sebelum berlaku taburan hujan melampau atau air pasang besar dan ini dimaklumkan menerusi jawatankuasa peringkat negeri dan daerah.
“Kita harap nasihat untuk berpindah diikuti sebaiknya oleh mangsa banjir demi faedah sendiri, sekali gus dapat mengurangkan risiko bencana,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) METMalaysia, Ambun Dindang, dilaporkan berkata, MTL dijangka bermula November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Katanya, hujan lebat diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.-BH Online