Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kuwait bersedia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan yang amat diperlukan dan boleh membantu memanfaatkan kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu dipersetujui ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah yang juga Menteri Pertahanan merangkap Menteri Dalam Negeri Kuwait di Kementerian Pertahanan Kuwait semalam.

“Sebagaimana Kuwait melihat Laut China Selatan sebagai kawasan penting, Malaysia juga memberi perhatian kepada kawasan Timur Tengah. Kerana apa saja yang berlaku di kawasan itu boleh membawa impak kepada dunia, maka perlu untuk Malaysia memahami dan mengetahui soal-soal yang dihadapi di Timur Tengah. nullnull

“Melalui MoU itu, tentunya kita akan dapat memahami perspektif Kuwait kerana dalam kalangan negara Timur Tengah, Kuwait antara negara stabil, aman. 

“Ini membantu kita memahami keadaan politik dan kestabilan pertahanan di kawasan tersebut serta perkara lain dalam bidang pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohamed Khaled tiba di Kuwait pada Ahad bagi lawatan kerja rasmi bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.

Beliau berkata kerjasama berkenaan juga akan menjadi pelopor hubungan dua hala lebih erat dengan bekerjasama dari segi penyelidikan dan pembangunan, pertukaran latihan pegawai tentera serta perkongsian teknologi dan inovasi yang berkembang pesat. 

Selain itu, katanya, Kuwait turut memberikan jawapan positif berkaitan perolehan pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi memulakan perbincangan serta rundingan.

Jawatankuasa yang dibentuk dengan melibatkan pegawai tentera antara kedua-dua negara itu, katanya akan mendalami sekiranya prasyarat dipenuhi seterusnya membolehkan proses pembelian jet berkenaan dilakukan.

“Kuwait memberi jawapan positif kepada permohonan Malaysia untuk pembelian aset-aset ini, tetapi kita memahami bahawa ia tertakluk kepada dua keadaaan iaitu persetujuan daripada negara pembekal dan kedua, penyerahan aset-aset udara yang baharu untuk Kuwait. 

“Kuwait memberi jaminan mereka tiada halangan untuk permohonan Malaysia dan ia bergantung kepada dua keadaan itu. Jadi kita berterima kasih kepada kerajaan Kuwait kerana memberi indikasi positif kepada permohonan Malaysia ini lebih-lebih lagi mereka memahami keperluan ini sangat mustahak dan mendesak bagi Malaysia,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet itu mustahak kerana rombongan lawatan yang dihantar ke Kuwait kali ini telah melakukan pemeriksaan terhadap aset-aset berkenaan dan berasaskan kajian, jet terbabit sangat sesuai untuk kegunaan ATM.

“Kita sedia maklum jika kita tidak berjaya dalam perolehan jet ini, kita terpaksa melihat dan memulakan proses untuk mencari jet-jet baharu yang memakan masa lebih tiga hingga empat tahun,” katanya. – BERNAMA