KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan bermula hari ini hingga 11 Oktober di Vientiane, Laos.
Kementerian Luar berkata, Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.
“Perdana Menteri juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Beliau juga dijadual menyertai Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, Sesi-sesi Suamuka antara Pemimpin-pemimpin dengan Wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council–ABAC),” kata kenyataan itu.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan akan membolehkan Malaysia berkongsi perspektif serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu.
Ia termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, keamanan serta kestabilan serantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baharu, peralihan tenaga, keselamatan makanan, serta kemajuan Timor-Leste ke arah keahlian penuh ASEAN dan hubungan ASEAN dengan rakan kongsinya.
“Malaysia juga akan menyatakan pendirian mengenai isu Laut China Selatan serta perkembangan di Myanmar, Palestin dan Asia Barat,” katanya.
Pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari depan.
Pada majlis itu, Anwar yang Menteri Kewangan turut dijadual menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Ekonomi, serta Kementerian Belia dan Sukan.-BH ONLINE