SUNGAU SIPUT: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dihormati serta dikagumi rakyat di negara Asia Selatan terutama India, Bangladesh dan Pakistan disebabkan kemampuan mengekalkan keamanan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Perdana Menteri berkata, kemampuan Malaysia mengawal pergeseran yang berlaku membabitkan kaum dan agama yang pelbagai, dihormati serta dikagumi antaranya menerusi apa yang disuarakan oleh Ketua Penasihat kerajaan interim Bangladesh, Prof Muhammad Yunus menerusi kunjungan Anwar ke negara itu baru-baru ini.
“Baru dua malam saya ke Pakistan dan singgah selama empat jam ke Bangladesh, selain pada bulan lalu saya ke India. Semalam (saya jumpa) sahabat saya, Ketua Penasihat utama di Dhaka, Prof Muhammad Yunus di Dhaka.
“Di semua negeri-negeri itu mereka beri penghormatan tinggi kepada Malaysia… dan jangan salah faham ia bukan sebab Anwar, tetapi sebab negara ini aman.
“Dia (mereka) tahu negara ini ada Muslim, Hindu, Sikh, Nasara (Kristian), Buddhist, semua ada tetapi dia tahu negeri (negara) ini aman. (Jadi) kita bangga kerana rakyat kita begitu, untuk kita boleh bagi tahu mereka,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Heawood, Sungai Siput Utara, di sini hari ini.
Anwar berkata, keamanan dikecapi Malaysia sering menjadi buah persoalan negara luar seperti di negara Asia Selatan berkenaan yang kadangkala diperlihatkan wujud pergeseran di yang lebih teruk berbanding Malaysia.
“Kadang-kadang mereka bertanya mengapa (kita mampu kekang pergeseran kaum dan agama) dan kita menjawab, disebabkan kita bagi jaminan kalau ada yang tidak puas hati, maka kita bagi ruang mendengar dan kita berbincang.
“(Seperti) di Bangladesh bila ada bantahan daripada anak-anak muda mahasiswa kerana dakwaan rasuah pimpinan mereka yang terdahulu hingga Perdana Menteri negara itu lari keluar dan diganti kerajaan sementara, kemudian dalam keadaan rusuhan itu ada mangsa dari orang Islam serta Hindu.
“Jadi ada kebimbangan saya sebagai seorang rakan dan seorang yang percaya kepada prinsip kemanusiaan, saya sebut bahawa di negeri itu (Bangladesh) kena jaga semua biar jamin keamanan… biar setiap rakyat Muslim selaku majoriti dan Hindu di Bangladesh berasa mereka terjamin dan terselamat,” katanya memaklumkan titipan nasihat itu kemudiannya disambut baik Muhammad Yunus.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata Malaysia sudah makin dikenali sebagai hab semikonduktur di rantau ini terutama apabila syarikat gergasi seperti Google dan Oracle Corporation (Oracle) mengumumkan pelaburan bernilai bilion ringgit.
“(Negara) itu semua tanya kita mengapa dan bagaimana Malaysia sudah jadi hab pusat semikonduktor di rantau ini. Dan sekarang kita lihat umpamanya sejak dua tahun lalu kita pening hadapi masalah (kelemahan) ringgit, namun sekarang Alhamdulillah kerana ringgit kita makin kuat, malah nilai wang yang perubahannya lebih positif yang terkuat perubahannya sekarang di dunia
“Jadi ini suatu perkara yang membanggakan sebab politik kita stabil, rakyat pelbagai kaum kita tak bergaduh… walaupun adalah bising-bising sedikit, itu okey dan sebab puak pelampau kita kawal,” katanya.-BH ONLINE