Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menepis dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil adalah adiknya.

Beliau yang menolak tohmahan kononnya ada kaitan dengan pelantikan Anuar Fariz, berkata MDEC adalah agensi peneraju ekonomi digital negara yang bukan di bawah Kementerian Komunikasi, sebaliknya di bawah Kementerian Digital diterajui Gobind Singh Deo.nullnull

“Anuar Fariz Fadzil bukan adik saya, dia tiada apa-apa kaitan dengan saya, nama saja sama, sepupu pun bukan, bau-bau bacang pun tiada. Saya tiada kaitan dengan pelantikan itu.

“Jadi, jangan cuba fitnah saya dalam hal ini, mereka perlu sedar… Jangan mudah tabur fitnah. Ini adalah pengajaran untuk kita semua supaya sentiasa berwaspada dengan maklumat,” katanya berucap pada Program Sembang Santai Komuniti Madani Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Khamis lalu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menerusi laman Facebook bertanya sama ada Anuar Fadzil adalah adik kepada Fahmi.

Namun, beliau mengemas kini hantaran itu dalam satu tulisan bertajuk Ralat Adik Fahmi Fadzil dan menyatakan tidak membuat tuduhan atau fitnah terhadap kedua-dua individu terbabit, sebaliknya hanya mempersoalkan perkara itu selepas tular dan kecoh di platform TikTok kononnya adik Fahmi dilantik Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau mempunyai seorang abang yang bekerja dalam syarikat penghasilan bahan kimia dan seorang adik berkecimpung dalam industri seni sebagai pemuzik.

“Adik saya seorang pemuzik dan tidak pernah dapat satu sen pun (dana) di bawah program berkaitan kementerian, saya tidak akan membenarkannya,” katanya 

Fahmi berharap, perkara itu dapat menjadi pengajaran kepada semua, selain mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang maklumat yang diterima mereka.-BH Online