Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) 2024, 13 Oktober ini.

Bertempat di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, ia adalah yang pertama diadakan sejak lebih 100 tahun gerakan koperasi bertapak di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramkrishnan, berkata pihaknya menyasarkan kehadiran 800 peserta membabitkan koperator komuniti India dan 22 pempamer merangkumi agensi di bawah KUSKOP. 

Katanya, PKKI bertujuan meningkatkan pengetahuan koperator komuniti India berkaitan Dasar Koperasi Malaysia 2023 (DaKoM 2030), selain mengenal pasti isu tatakelola dan amalan terbaik dalam pengurusan koperasi masyarakat India.

“Saya harap PKKI bukan sahaja dapat membantu individu tetapi turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat India ke arah lebih mampan dan berdaya saing,” katanya pada sidang media pelancaran logo PKKI 2024 di sini, hari ini. 

Hadir sama, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar. 

Ramanan berkata, PKKI 2024 akan dijadikan platform kepada koperasi komuniti India mendapat pendedahan berkenaan inisiatif dan insentif disediakan KUSKOP menerusi SKM dan agensinya ke arah memperkasa gerakan koperasi negara. 

Ramanan berkata, antara pengisian dirancang termasuk sesi pembentangan isu, cabaran dan peningkatan daya saing koperasi komuniti India, forum bertajuk ‘Transformasi Ekonomi Koperasi Komuniti India: Prospek dan Wawasan’ serta sesi dialog bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

PKKI 2024, katanya, turut menyediakan peluang kepada anggota koperasi bertukar pendapat dan menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan aktiviti perniagaan, selain menambah baik pengurusan koperasi.

Beliau berkata, sejumlah 15,809 koperasi berdaftar setakat ini dengan 7.22 juta ahli atau 21 peratus penduduk Malaysia. 

“Sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran berjumlah RM17.45 bilion manakala penjanaan aset mencecah RM165.9 bilion dan sumbangan perolehan ialah RM64.56 bilion,” katanya.

Ramanan berharap lebih banyak koperasi komuniti India dapat meningkatkan prestasi pencapaian dan tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada masa akan datang.

“Jika semua koperasi komuniti India bergerak aktif dan bersepadu, sosioekonomi masyarakat India akan meningkat dan seterusnya mengurangkan jumlah kemiskinan komuniti ini,” katanya.-BH Online