KOTA TINGGI: Sebanyak 4,619 kawasan ‘hotspot’ banjir di negara ini sudah dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kawasan ‘hotspot’ itu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dapat dilakukan sebelum bencana banjir berlaku.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut meramalkan monsun timur laut akan bermula pada awal bulan depan sehingga Mac 2025.
Katanya, fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025.
“Risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan lebat monsun berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan monsun.
“Dijangka terdapat lima hingga tujuh luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung, selatan dan barat Sarawak serta utara dan timur Sabah.
“Oleh itu, sebagai persediaan awal JPS sudah mengenal pasti 4,619 kawasan ‘hotspot’ banjir selain memantau empangan seluruh negara yang berusia lebih 50 tahun.
“Ia terutamanya empangan yang mempunyai isipadu yang besar dan tinggi untuk kita kenal pasti langkah-langkah intervensi yang perlu diambil ketika musim MTL melanda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 2 2024 di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, lewat petang tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cuaca dijangka lebih lembap di Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak, bulan depan hingga Disember ini.
Pada Januari hingga Februari 2025 pula, katanya cuaca lebih lembap diramal berlaku di Johor, Sarawak dan Sabah.
“Hujan diramal berkurangan di Utara Semenanjung bermula Januari 2025 dan di Timur Semenanjung bermula Februari 2025 disusuli dengan cuaca panas dan kering sehingga Mei 2025.
“Secara keseluruhan, MetMalaysia meramalkan pola hujan di seluruh negara adalah sama dengan tahun yang sebelum ini.
“Amaran ‘cyclone’ tropika yang semakin kerap berlaku di perairan negara juga perlu diberi perhatian dan tindakan berhati-hati perlu diambil,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata JPS memaklumkan, terdapat 543 siren amaran banjir dan 737 pam bergerak ditempatkan di seluruh negara bagi menghadapi MTL 2024/2025 kali ini.
“Saya menyarankan peruntukan tambahan diberikan untuk tujuan menambah pembelian pam bergerak.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persiapan dan persiapan agensi-agensi kerajaan bagi menghadapi musim MTL 2024/2025 sekali gus tindakan koordinasi awal antara jabatan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan teratur,” katanya.-BH Online