Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JASIN: Kerajaan akan memperluaskan lagi penggunaan kamera badan (BWC) dalam kalangan anggota polis mengikut bahagian atau unit yang berinteraksi terus dengan masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu susulan kejayaan pelaksanaan projek rintis oleh polis trafik dan peronda yang dilihat dapat menterjemahkan ketelusan seseorang anggota pasukan keselamatan itu ketika bertugas.null

“Saya ada berinteraksi terus dengan anggota yang memakai BWC itu.

“Maklum balas kepada saya adalah mereka kali ini tampil dengan lebih yakin dalam menjalankan tugas dan tidak sesekali menganggap tugasan di lapangan diawasi (oleh pihak atasan) sebab tiada apa-apa (kelakuan) yang hendak disembunyikan.

“Malah, mereka mengganggap pemakaian kamera itu sebagai satu aspek penambahbaikan dalam menjalankan tugas,” katanya selepas menyampaikan tauliah Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) 2024 di Politeknik Merlimau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah RELA, Datuk Yahya Sulaiman; Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Zamzam Mohd Walid dan Pengarah Politeknik Merlimau, Norizam Sekak.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini dilaporkan mula menerima 7,648 unit BWC secara berperingkat mulai September lalu hingga Februari tahun depan berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

BWC adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Ia akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat mulai Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata penggunaan BWC bukan saja menambah kecekapan anggota polis dalam menjalankan tugas, tetapi juga meningkatkan kewibawaan, sekali gus mempertahankan integriti yang menjadi amalan pasukan keselamatan itu selama ini.

“Mereka menyambut baik inisiatif itu yang mampu meningkatkan keupayaan pasukan selain meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

“KDN Bersama PDRM akan terus meneliti pemakaian BWC ini dan perancangan kita adalah untuk meluaskan lagi penggunaannya, khususnya dalam kalangan anggota di bahagian atau unit yang berinteraksi langsung dengan masyarakat,” katanya.-BH Online