Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperketat operasi bersepadu yang memfokus kepada kenderaan berat, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden membabitkan kenderaan berat yang kerap berlaku kebelakangan ini, terutama kes kemalangan maut dan pemandu dikesan positif dadah.

“Memang kita memandang serius kes kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.

“Kita telah melancarkan operasi bersepadu sejak dua bulan lalu di mana sebelum ini kita menyasarkan pemandu bas ekspres dan persiaran kerana banyak kes pemandu didapati positif dadah.

“Sekarang, kita menumpukan kepada kenderaan berat dan perdagangan. Operasi lebih ketat akan diadakan oleh pihak JPJ untuk memastikan pemandu yang membawa kenderaan berat ini mematuhi peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan 2024 di sini, hari ini, ketika diminta mengulas laporan beberapa kemalangan maut membabitkan kenderaan berat dan kes pemandu positif dadah, termasuk insiden di Nilai pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, seorang wanita maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu apabila keretanya dan lima lagi kenderaan lain dirempuh sebuah lori membawa muatan tanah.

Loke sekali gus mengulangi penekanan bahawa tindakan tegas termasuk pendakwaan, akan diambil terhadap pemandu serta pihak syarikat terbabit sekiranya didapati cuai dan melanggar undang-undang sehingga mengorbankan orang lain.

“Mana-mana syarikat yang membenarkan pemandu positif dadah itu memandu dan mengakibatkan kemalangan, akan diambil tindakan.

“Kita telah melakukan ini dalam kes membabitkan sebuah bas persiaran di Genting Highlands, baru-baru ini, yang mana bukan saja pemandunya malah pemilik syarikat berkenaan juga dituduh di mahkamah.

“Oleh itu, saya mengingatkan pemilik syarikat bahawa mereka juga ada tanggungjawab untuk memastikan pemandu mereka berhemah di jalan raya dan tidak menyalahgunakan lesen memandu,” katanya.-BH Online