Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

VIENTIANE (LAOS): Malaysia yang akan menjadi tuan rumah ASEAN pada 2025 komited untuk memastikan inisiatif strategik Grid Kuasa ASEAN (APG) dapat dimeterai tahun depan bagi manfaat serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata APG bukan sekadar mengenai penyambungan sistem tenaga di darat dan dasar laut tetapi akan turut menjadikan rantau ini sebagai hab tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan antarabangsa.

Beliau yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 26-27 September di sini, berkata secara dasarnya APG telah dipersetujui oleh semua negara anggota.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, APG akan mewujudkan satu komuniti tenaga serantau yang saling membantu dan dapat memperkukuh semangat ASEAN, seterusnya meningkatkan daya saing setiap negara anggota dalam menarik pelaburan asing.

“Kita mengharapkan dengan jawatan sebagai tuan rumah ASEAN, kita dapat mengumpulkan tenaga dan konsensus dalam kalangan negara ASEAN untuk fokus kepada pembangunan APG,” katanya kepada media Malaysia, di sini.

Sementara itu, beliau berkata, semasa mesyuarat AMEM antara yang turut diketengahkan adalah berkenaan minat Bank Dunia dan Asian Development Bank untuk melabur dalam pembangunan tenaga hijau di ASEAN.

Ketika mesyuarat AMEM + 3 (China, Jepun, Korea) ke-21, Fadillah sebagai Naib Pengerusi AMEM turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada ketiga-tiga negara itu kerana bersetuju untuk menyalurkan kepakaran teknikal kepada ASEAN bagi memperkasa pembangunan sektor tenaga boleh baharu (TBB) dan tenaga bersih. 

Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat dua hala yang dihadiri Fadillah dengan beberapa negara anggota ASEAN di luar persidangan AMEM ke-42 turut membincangkan berkenaan potensi Malaysia untuk terlibat dalam pelaburan sektor TBB dan tenaga bersih.

“Ini termasuk potensi untuk meningkatkan bekalan tenaga dari Laos ke Malaysia dan peluang pelaburan bagi pemain industri negara dalam meneroka industri penjanaan tenaga di negara berkenaan,” katanya.

Selain itu, Fadillah turut berkongsi mengenai hasrat Filipina untuk bekerjasama dalam pembangunan bahan api bio (biofuel) di negara itu.

Perbincangan turut diadakan bersama pihak Vietnam berkenaan potensi pelaburan syarikat Malaysia dalam industri tenaga angin di negara itu dan perancangan pembangunan kabel dasar laut bagi pembekalan tenaga dari Vietnam ke Singapura, melalui kawasan Malaysia. 

Bagi Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) yang memasuki Fasa Kedua (2024-2026), Fadillah menekankan mengenai aspek kerjasama timbal balik dalam LTMS, yang mana negara-negara terlibat boleh saling menyokong ketika menghadapi kekurangan tenaga.

Beliau berkata, fasa pertama LTMS-PIP hanya membabitkan Laos membekalkan tenaga kepada Singapura, manakala wheeling charges (caj penghantaran tenaga) dikenakan oleh Thailand dan Malaysia kerana melalui kedua-dua negara tersebut. 

“Bagi fasa kedua apa yang kita bincangkan adalah untuk mempertingkatkan kerjasama ini, malah Malaysia juga telah mula membekalkan tenaga kepada Singapura,” katanya.

Beliau berkata, LTMS-PIP membuktikan kebolehan empat negara terbabit untuk saling bekerjasama dalam pembangunan tenaga dan seharusnya usaha merealisasikan APG perlu diperkukuh.

Sementara itu, Kenyataan Bersama Menteri AMEM merumuskan bahawa AMEM ke-42 adalah detik penting apabila kesemua anggota berusaha ke arah merealisasikan APG di rantau ini dan membangunkan pelan tindakan tenaga ASEAN yang boleh menangani cabaran tenaga yang semakin berkembang di rantau ini dan arah aliran mega global. – BERNAMA