Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Malaysia sedang menunggu jawapan daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan penambahan kuota jemaah haji negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata permohonan itu telah dikemukakan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, selepas pertemuan bulan lalu.

“Sebaik saja habis operasi haji, sudah diumumkan kuota jemaah haji negara ialah 31,600, cuma kita membuat rayuan.

“Saya sudah memberi surat kepada beliau agar mempertimbang untuk Malaysia diberikan tambahan (kuota jemaah haji), namun belum mendapat jawapan lagi.

“Itu kuasa Menteri Haji dan Kerajaan Arab Saudi untuk menentukan tetapi di pihak kita, sudah mengemukakan permohonan untuk penambahan kuota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) Kali Ke-41, Musim Haji 1446/2024M, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, MHPK sangat signifikan dalam membincangkan secara tuntas isu berbangkit dan perlu diberi keutamaan untuk diketengahkan pada musim haji akan datang.

“Segala pandangan dikemukakan dalam muzakarah ini bukan saja penting kepada jemaah haji negara tetapi juga seluruh umat Islam dalam memahami hikmah dan falsafah manasik (cara pelaksanaan) haji serta hukum-hakamnya.

“Saya difahamkan salah satu kertas kerja yang akan dibentang dan dibincangkan adalah berkaitan adab serta akhlak di Masya’ir, dan ia sangat penting sebagai menterjemahkan akhlak jemaah haji Malaysia selaras dengan tema muzakarah haji kali ini. 

“Saya berharap resolusi yang dikeluarkan akan menjadi panduan kepada pihak pengurusan TH bagi merangka strategi operasi haji akan datang dengan lebih baik dan efektif,” katanya.-BH Online