Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin sumbangan pembangunan Amazon Web Services (AWS) Region kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang dianggar berjumlah RM57.3 bilion boleh dipercepat kepada 2032, enam tahun lebih awal berbanding sasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keyakinan itu selari dengan pencapaian AWS dalam pelaburan digital di negara ini sejak lapan tahun lalu.

“AWS sudah menjadi rakan kongsi dalam perjalanan transformasi digital Malaysia. Menyedari kepantasan pembangunan AWS, saya percaya (AWS) boleh mempercepatkannya daripada 2038 kepada mungkin 2032.

“Ini kerana mereka sentiasa membuktikan mampu menyelesaikan sesuatu perkara lebih cepat daripada pelan asal,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Pelancaran AWS Wilayah Malaysia.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Pengarah Urusan AWS ASEAN, Jeff Johnson.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata AWS telah menjadi rakan kongsi yang kukuh dalam perjalanan transformasi digital negara kita dan pelancaran Wilayah AWS dengan pelan pelaburan 15 tahunnya menekankan komitmen jangka panjang yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia.

Beliau berkata, hasil pelaburan RM29.2 bilion melalui projek Wilayah AWS (Malaysia) sahaja diunjurkan menyumbang RM57.3 bilion kepada KDNK Malaysia antara 2024 dan 2038. 

Pelaburan AWS di Malaysia juga dijangka menjana lebih 3,500 pekerjaan secara terus daripada pusat data baharu.

Mengulas aspek transformasi digital negara, Anwar berkata, pendigitalan menjadi keutamaan negara sebagai satu persediaan untuk Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

“Kepemimpinan Malaysia akan memacu kerjasama dalam kalangan negara ASEAN untuk mengharmonikan dasar digital, menyeragamkan peraturan dan menambah baik aliran data rentas sempadan.

“Kita turut berhasrat meletakkan Malaysia sebagai pusat generatif AI (kecerdasan buatan) di peringkat serantau dan global dengan mengukuhkan infrastruktur digital,” katanya.-BH Online