Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BATANG KALI: Seramai 83,752 murid membabitkan 3,458 sekolah seluruh negara akan menerima manfaat daripada pelaksanaan fasa satu Program Anak Kita yang bertujuan mengatasi isu keciciran pembelajaran di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pelaksanaan itu merangkumi tiga pengisian iaitu Program 3M (membaca, mengira dan menulis), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Program Murid Cicir.

“Untuk Program 3M babitkan 53,252 murid pemulihan khas tahun dua hingga enam daripada Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak manakala Program SPM di seluruh negara merangkumi 10,000 murid Tingkatan Lima (SPM 2024) serta 20,000 murid Tingkatan Empat (SPM 2025).

“Bagi Program Murid Cicir pula akan membabitkan 500 murid keciciran dari enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Anak Kita di Sekolah Kebangsaan Rasa di sini, hari ini.

Program dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi tayangan video itu turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Fadhlina berkata, isu kemiskinan kekal menjadi naratif utama keciciran anak-anak dalam pelajaran, selain isu sosial. 

“Jadi komitmen besar kita dalam intervensi menerusi Program Anak Kita ini untuk pastikan golongan ini kembali dapat pendidikan tanpa ada lagi ketinggalan atau keciciran kerana kita tahu mereka ini masih ada potensi untuk dibantu dan ditingkatkan keupayaannya.

“Semua (golongan tumpuan) dalam program ini adalah daripada hasil data yang kita kumpulkan dan mereka akan diberi bantuan sama ada kemudahan tuisyen, pembelajaran bersemuka dan hibrid selain program mentor-mentee,” katanya.

Fadhlina berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan juga tidak menambah beban atau mengganggu warga pendidik kerana dilakukan di luar sesi persekolahan dan dikendalikan oleh tenaga pengajar luar. 

“Kita juga letakkan tanda aras (benchmark) tertentu dalam pelaksanaan program ini dan yakin ikhtiar ini hasilnya akan dapat dilihat seawal tahun hadapan terutama Program SPM bila kita boleh nilai menerusi keputusan dicapai pelajar dalam peperiksaan itu pada tahun hadapan,” katanya. – BERNAMA