Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Iskandar Puteri: Pembabitan sektor swasta dalam sistem pendidikan awam seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum ini boleh dilaksanakan dalam Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang dan akan dimajukan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil kerjasama sektor swasta termasuk syarikat konglomerat terkenal bersama kerajaan itu menunjukkan bagaimana ia dapat memenuhi keperluan masa hadapan negara.

“Kita lihat bagaimana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkasakan TVET… Kita tidak boleh hanya dengan silibus latihan TVET yang terdahulu, tetapi lebih baiknya apabila sektor swasta beri kerjasama.

“Jadi, saya lihat dengan TVET dan latihan teknikal AI, ia akan lebih efisyen untuk ada kerjasama sektor swasta dan kerajaan berbanding program pendidikan yang biasa sahaja.

“Jadi, kita perlukan institusi perbankan, Khazanah, Bursa Malaysia dan syarikat-syarikat konglomerat, bergabung dengan mereka (Fakulti AI) dalam membantu melahirkan tenaga kerja kompeten,” katanya ketika berucap pada Invest Malaysia : Where Policy Meets Progress @ Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Penasihat Ekonomi (Pelaburan) Negeri Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.

Terdahulu, Januari lalu, dilaporkan seramai 120 penuntut tempatan akan menjadi kumpulan perintis bagi mengikuti pengajian di Fakulti AI pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

UTM bakal menawarkan kursus berkaitan AI menerusi fakulti itu selama tiga tahun bermula sesi Akademik 2024/2025

Mengulas lanjut, Anwar memuji langkah pembangunan Fakulti AI itu yang hanya mengambil masa empat bulan sahaja untuk direalisasikan.

Beliau berkata, ia penting dalam usaha pembangunan bakat selaras memacu pertumbuhan dan pelaburan di dua zon utama iaitu zon ekonomi dan zon kewangan di Iskandar Puteri.

“Saya bangga dengan kemampuan UTM dapat membangunkan Fakulti AI dalam tempoh singkat kerana lawatan saya ke Abu Dhabi sebelum ini, saya lihat pembangunan teknologi AI mengambil masa antara setahun atau dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut memberitahu inisiatif baharu perlu terus diperkenal bagi menarik kemasukan lebih banyak pelaburan antarabangsa melalui kerjasama erat Malaysia dan negara anggota ASEAN.

“Sekarang kita lihat kolaborasi baik di Johor dengan Singapura melalui inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), semua pemain industri turut berkolaborasi bagi menjadikan usaha ini satu kejayaan,” katanya.-Harian Metro Online