Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Rumah Negeri yang dipamer pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 sedia dipertimbang untuk dikekalkan di lokasi itu sebagai tarikan menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata cadangan berkaitan perkara itu dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Ada permintaan daripada Timbalan Perdana Menteri supaya beberapa Rumah Negeri yang dibina di sekitar pekarangan kawasan MAHA itu dipertimbangkan untuk dikekalkan.

“Ini memandangkan Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan dan mungkin boleh menjadi tapak lawatan bagi delegasi ASEAN untuk mereka melihatnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada mesyuarat itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri teruja dengan kejayaan penganjuran MAHA 2024 khususnya kehadiran pengunjung sepanjang acara berkenaan berlangsung.

Katanya, Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kerana berjaya menarik lebih 5.5 juta pengunjung dengan nilai jualan langsung sebanyak RM48.5 juta pada penganjuran MAHA 2024. 

“Ini pencapaian yang sangat-sangat baik,” katanya.-BH Online