Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera menyelesaikan isu capaian internet di universiti awam (UA).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata arahan itu disampaikan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya hari ini.

“Sewaktu mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Perindustrian 4.0 yang diadakan minggu lalu, antara perkara yang ditekankan dan dibangkit sekali lagi hari ini adalah masalah internet termasuk di UA khususnya.

“Perdana Menteri meminta supaya MCMC dan juga KPT bekerjasama dengan pantas (untuk atasi masalah berkenaan),” katanya pada sidang media hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri mahu perkara itu diuruskan dengan segera kerana kebanyakan kampus UA akan menerima kemasukan pelajar dalam tempoh terdekat.

Justeru, katanya, beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan memberi tumpuan untuk menguruskan isu terbabit dengan segera.

“Ada beberapa perkara membabitkan pengurusan di kampus-kampus di bawah UA yang mana ada sesetengahnya, mereka mempunyai vendor yang menyediakan internet mereka sendiri.

“Jadi perkara ini, Perdana Menteri minta untuk dipercepat dan diuruskan dengan segera memandangkan banyak daripada kampus ini akan mula beroperasi dengan semester yang baharu dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya.-BH Online