NEW YORK: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dijangka dimeterai bakal memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, Malaysia dan anggota GCC yang terdiri daripada Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini berada di peringkat akhir untuk memeterai FTA.
Mohamad menegaskan bahawa hubungan dagangan dan pelaburan antara Malaysia serta anggota GCC sangat signifikan dengan kerjasama ekonomi yang akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.
“Kami berbincang berkenaan usaha kerjasama yang perlu dipertingkatkan di antara Malaysia dengan anggota GCC yang merupakan satu blok amat penting sekarang ini dan kita tidak boleh melepaskan pandangan kita tentang hubungan strategik ini.
“Dokumen FTA tersebut sedang dimuktamadkan dan dijangka akan ditandatangani dalam masa terdekat,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, semalam.
Sebelum itu, Mohamad mengadakan pertemuan dua hala bersama Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi yang berlangsung di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-79.
Jasem hadir dijangka hadir sidang kemuncak ASEAN di KL
Dalam perkembangan sama, Jasem dijangka menghadiri Sidang Kemuncak GCC-ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur tahun depan, katanya.
Mohamad berkata, Jasem juga menyatakan kesediaannya untuk mengurus jemputan rasmi kepada anggota GCC bagi menyertai sidang kemuncak terbabit.
Pada Ogos, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia menyasar menjalin FTA dengan enam anggota GCC sebagai satu blok serta perjanjian dua hala di Asia Barat untuk meningkatkan hubungan komersial dengan rantau ekonomi utama itu.
Menurutnya, Malaysia juga bakal memuktamadkan perjanjian dua hala dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir tahun ini.
Arab Saudi, selaku ekonomi terbesar di rantau itu juga sedang menyelaraskan rundingan FTA Malaysia dengan GCC, kata Tengku Zafrul. – BERNAMA