Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Pelan Strategik Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) dalam menjayakan hasrat kerajaan melahirkan penjawat awam yang memiliki status kesihatan baik dan produktif dalam membangunkan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PSS di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ANMS Bilangan 2/2024 yang dipengerusikannya hari ini.

Katanya, pelan berkenaan mengariskan lima strategi iaitu pengukuhan literasi kesihatan penjawat awam dan persekitaran yang menyokong kesihatan; pemantapan intervensi kesihatan pembudayaan hidup sihat dan pengukuhan kelestarian persekitaran menyokong kesejahteraan kesihatan.

Selain itu, pemerkasaan nilai ‘ownership’ (pemilikan) dalam kesejahteraan kesihatan melalui pengiktirafan kepada rakan strategik serta peluasan perkhidmatan ‘Wellness on Wheel’ (WOW) melalui 19 kenderaan akan digerak bersama Ahli Parlimen Malaysia bermula tahun depan.

“Pelan Strategik PSS menggariskan pelbagai strategi, inisiatif dan sasaran yang perlu dicapai menjelang 2030. Ia bermatlamat menurunkan faktor risiko kesihatan dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya.

“Usaha itu melalui pelaksanaan dasar berkaitan pembudayaan hidup sihat dan persekitaran yang menyokong kesihatan di samping meningkatkan literasi kesihatan serta amalan budaya hidup sihat di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata beberapa fokus keberhasilan budaya hidup sihat PSS yang akan dilaksanakan mulai fasa rintis 2024 hingga 2025 turut diperkenalkan seperti gaya hidup aktif, amalan pemakanan sihat, pemakanan selamat, saringan kesihatan dan lain-lain.

Disamping itu, tinjauan untuk mendapatkan data asas diadakan pada tahun ini dan seterusnya tinjauan keberkesanan fasa rintis penghujung tahun depan.

“Sebanyak 16 inisiatif dilaksanakan sebagai indikator pengukuran 

kejayaan PSS. Kejayaan pelaksanaan inisiatif PSS akan diukur melalui kajian dan tinjauan yang akan dilaksanakan.

“Ia termasuk Tinjauan Literasi Kesihatan Malaysia 2028; Indeks Cara Hidup Sihat Malaysia 2028; Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2028 dan Kajian Pasca Keberkesanan PSS 2030,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kejayaan inisiatif PSS bergantung kepada pemerkasaan penjawat awam dan komitmen rakan strategik dalam ANMS iaitu pembabitan semua kementerian, jabatan dan agensi. 

Katanya, isu kesejahteraan kesihatan perlu dilihat merentas kementerian atau agensi dan tema kesihatan perlu berada dalam semua dasar.-BH Online