Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (PSKPM) 2024 hingga 2030 yang mengandungi lima teras strategik bagi menangani isu pendidikan secara sistematik dan holistik, sejajar peredaran masa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pelan tindakan itu akan dilaksanakan secara komprehensif bagi tempoh tujuh tahun akan datang.

Katanya, lima teras strategik dalam pelan itu merangkumi:

* meningkatkan akses dan kualiti pendidikan

* mengukuhkan pendidikan digital

* menambah baik kemudahan asas institusi pendidikan KPM

* memperkasakan pengurusan sumber manusia

* mengislahkan sistem tatakelola

“Lima teras strategik itu akan didukung 17 strategi, 66 program dan 82 petunjuk prestasi utama (KPI) yang dirangka untuk mencapai visi dan misi KPM.

“Ia membabitkan pendidikan berkualiti, insan terdidik, negara sejahtera dan melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.

“Pemantauan pelaksanaan pelan ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap program dan inisiatif mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM di sini, hari ini.

Fadhlina turut melancarkan pelan strategik berkenaan dan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi peringkat KPM pada majlis sama.

Beliau berkata, dua jawatankuasa akan dibentuk bagi memantau pelaksanaan PSKPM termasuk melalui Jawatankuasa Induk Pemantauan PSKPM.

Tegasnya, jawatankuasa pertama akan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi manakala yang kedua membabitkan Jawatankuasa Kerja Pemantauan PSKPM yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua

Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Wan Hashim Wan Rahim.

“Kedua-dua jawatankuasa ini masing-masing akan bersidang sekali dan dua kali setahun untuk memastikan pelaksanaan PSKPM lancar dan mencapai matlamat ditetapkan,” katanya.-BH Online