Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjalin tiga usaha sama strategik bersama Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) untuk membangunkan stesen minyak, pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) dan penempatan produk industri kecil sederhana (IKS) di BHPetromart.

Memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara BHPetrol dan lapan agensi KKDW termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA) dan anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc.).

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan majlis menandatangani MoU itu antara KKDW yang diwakili Pengurus Besar lapan agensi terbabit, sementara BHPetrol diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ir Azizul Azily Ahmad.

BHPetrol melabur RM45 juta untuk pembinaan 10 stesen minyak di lapan lokasi yang telah dimuktamadkan dan dua lokasi lagi masih dalam penelitian.

null

Antaranya di Kampung Awah, Temerloh, Pahang; Sri Gading Batu Pahat, Johor; Pejabat KEDA Zon 4, Sik, Kedah, Bendang Man, Sik, Kedah; Sungai Tengas, Serdang, Kedah; Ara Kuda, Pulau Pinang; Taman Kesedar Putra 2, Kelantan; Tumbi Rapat, Jeli, Kelantan; Bandar Penawar, Johor dan Kubang Menerong, Pulau Pinang.

MARA Inc. pula memperuntukkan RM1.5 juta bagi pemasangan panel solar PV di 50 stesen minyak BHPetrol sedia ada.

Inisiatif itu sebagai langkah permulaan bagi transformasi ke arah tenaga boleh baharu (TBB) selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang bermatlamat untuk pengurangan 45 peratus dalam pelepasan karbon menjelang tahun 2030 dan langkah untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 serta langkah ke aras teknologi hijau dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis pemeteraian MoU itu berkata, sebagai kementerian yang menerajui pembangunan desa, KKDW sentiasa berusaha mengurangkan jurang antara desa dan bandar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif.

Beliau berkata, kawasan luar bandar di Malaysia sering dicirikan oleh tahap infrastruktur yang rendah, akses yang terhad, serta jurang pembangunan yang ketara berbanding kawasan bandar. 

Katanya, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi desa amat penting kerana ia mempengaruhi pembangunan negara dan kesejahteraan sosial secara keseluruhan.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan syabas kepada BHPetrol atas kepedulian mereka terhadap masyarakat luar bandar melalui usaha sama strategik dengan agensi-agensi di bawah KKDW, dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, usaha sama itu akan membantu kementerian dalam mencapai matlamat pembangunan ekonomi dan keusahawanan desa.

Katanya, inisiatif itu bukan saja memacu teknologi di kawasan setempat, tetapi turut memberi peluang kepada usahawan desa untuk memasarkan produk mereka, sekali gus meningkatkan pendapatan.

Sementara itu, Azizul Azily berkata, kerjasama strategik itu bakal memberi impak yang besar kepada pertumbuhan sosio ekonomi luar bandar. 

Beliau berkata, pembangunan yang strategik penting untuk pertumbuhan kawasan desa terutamanya apabila

ia memainkan peranan dalam mencaturkan masa hadapan negara. 

“Sebagai anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd, BHPetrol mengorak langkah secara proaktif dalam memastikan sumbangan tidak terhad kepada kawasan membangun saja malah meneliti bagaimana caranya untuk membantu kerajaan untuk membangunkan kawasan desa termasuk dengan komuniti setempat. 

“Dengan itu, bermulanya fasa kerjasama dengan agensi-agensi KKDW berteraskan matlamat dan tujuan untuk meningkatkan infrastruktur, meluaskan capaian kepada kemudahan asas dan menggalakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan sesi penyerahan surat niat daripada pihak BHPetrol kepada pihak MARA bagi penempatan produk industri kecil sederhana (IKS) usahawan bimbingan MARA di 300 kedai serbaneka BHPetromart seluruh Malaysia.

Ia sekali gus menjadi platform pemasaran yang cekap untuk membantu usahawan Bumiputera meluaskan pasaran produk mereka dalam usaha menyediakan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh.-BH Online