Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Akademi Keselamatan Siber Malaysia akan ditubuhkan bagi menampung keperluan kekosongan 26,000 tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) yang dipengerusikannya.

Katanya, akademi berkenaan akan menawarkan kursus berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) di bawah penyelarasan CyberSecurity Malaysia (CSM).

Menurutnya, pengambilan pelajar akademi itu akan dilaksanakan bagi kemasukan Januari 2025 selepas perbincangan bersama Kementerian Digital untuk menyegerakan penyediaan kursus berkaitan.

“Kursus hendaklah disegerakan kerana keperluannya amat mendesak dalam kalangan syarikat semikonduktor dan syarikat berasaskan elektronik. 

“Jadi penubuhan akademi ini amat penting walaupun banyak universiti menawarkan kursus sama dari segi akreditasi tetapi akademi ini adalah sebuah badan yang menyelaraskan bentuk kursus diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan MTVET dan Sesi Libat Urus 66 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Swasta bersama 12 kementerian TVET di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata MTVET turut bersetuju memasukkan elemen TVET dalam Program latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan diperkenalkan semula oleh kerajaan.

Katanya, elemen TVET akan diterapkan dalam modul PLKN sebagai satu pendekatan menyebar luas potensi dan kerjaya berteraskan bidang berkenaan kepada peserta.

“Kita mengambil keputusan bahawa kursus itu bukan dibuat secara mendalam tetapi lebih kepada ‘DIY’ seperti pembaikan paip, penghawa dingin dan peralatan elektrik, ini dipersetujui pada dasarnya dan akan diperincikan oleh sebuah jawatankuasa kecil.

“Institusi TVET yang memenuhi kriteria keperluan PLKN turut dicadang untuk melaksanakan modul PLKN dengan membabitkan pelajar institusi berkenaan sebagai peserta,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata potensi bidang TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran turut disokong dengan pengenalan program Global Initiative for Future Talents (GIFT) oleh Khazanah Nasional Berhad. 

“Melalui platform GIFT ini, program berstruktur membabitkan pemantapan kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, penyelesaian masalah, transformasi peribadi, peningkatan daya tahan, keyakinan dan pemikiran kritikal akan diterapkan kepada graduan TVET.

“Ini untuk membina profesionalisme dan seterusnya mampu memiliki daya saing yang tinggi dalam bidang pekerjaan yang diperlukan oleh pihak industri,” katanya.-BH Online