KLUANG: Kerajaan sedia meneliti pendekatan Rumah Transit Bangsa Johor yang diperkenalkan dua tahun lalu, untuk diperluaskan ke negeri lain bagi memastikan rakyat khususnya keluarga muda kurang berkemampuan memiliki rumah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan yang dibuat di Johor dengan 30 peratus daripada jumlah sewaan akan dipulangkan kepada keluarga muda selepas tempoh sewaan berakhir selama lima tahun adalah terbaik.
Beliau berkata, setakat ini tiada kerajaan negeri lain memperkenalkan pendekatan itu walaupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggunakan konsep ‘rent to own’ atau sewa beli.
“Bagi keluarga muda, mereka boleh menggunakan 30 peratus daripada jumlah sewaan yang juga simpanan untuk membeli rumah sekiranya tempoh sewaan rumah transit berakhir.
“Rumah ini dikategorikan kepada beberapa sektor terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan jadi, amat sesuailah ia diperluaskan kerana ketika ini kuasa beli keluarga muda masih berkurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Merealisasikan Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, pendekatan dilakukan kerajaan negeri Johor adalah terbaik dan wajar menjadi ikutan negeri lain.
Ahmad Zahid juga yakin menteri KPKT mengetahui perkara itu dan sekiranya ada cadangan dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet, beliau antara individu yang akan menyokongnya.
“Pada masa sama, saya yakin soal menyantuni keperluan rumah untuk keluarga baharu perlu dibuat untuk membantu mereka.
“Pendekatan ini boleh diaplikasikan di negeri lain terutama dalam kawasan bandar dan juga pinggir bandar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menafikan Kluang dipinggirkan berbanding daerah lain seperti mana dakwaan dibuat sesetengah pihak.
Beliau berkata, Kluang yang terdiri dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan Mengkibol di mana kepesatan pembangunan sedang rancak ketika ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada ada satu pun daerah di Johor yang tertinggal kerana ada tuduhan mengatakan Johor tengah khususnya di Kluang terpinggir, kerana kononnya pembangunan tertumpu di Johor Bahru di selatan dan kawasan utara, Muar.
“Sedangkan kita melihat Kluang akan mempunyai akses apabila trek berkembar dan stesen baru Keretapi Tanah Melayu (KTM) siap sepenuhnya. Ini boleh menghubungkan penduduk di Kluang dengan daerah berhampiran sama ke utara, selatan atau Kuala Lumpur,” katanya.-BH Online