Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menyekat mana-mana sarjana serta ahli akademik untuk membahaskan isu 3R (agama, bangsa dan raja) selagi ia tidak menanam kebencian kaum dan menghasut, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menafikan hak kebebasan bersuara, namun ia sebaik-baiknya diguna untuk menzahirkan ucapan, kritikan atau pandangan yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata, menggunakan agama, contohnya untuk men’dajal’kan dan me’munafik’kan orang lain secara semberono serta meng’kafirharbi’kan kumpulan tertentu, adalah budaya percakapan yang harus dijauhi.

“Seorang sarjana dari universiti tidak disuruh menjadi pak turut. Harus bebas bicara dan ini saya tekankan kepada Menteri Pendidikan Tinggi. Sekiranya ada sekali pun yang bicara mengenai 3R, sekatan itu hanya apabila kenyataan (dikeluarkan) itu sudah melampau, menghasut kaum dan membenci satu sama lain.

“Menggunakan agama untuk men’dajal’kan orang, me’munafik’kan orang dengan mudah… kalau dalam kalangan rakyat, itu mungkin akan membawa malapetaka dan rusuhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Memperingati Profesor Dr Syed Husin Ali di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Selesai majlis itu, beliau turut berkesempatan mengunjungi Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, sekali gus bertemu dan beramah mesra dengan pelajar serta kakitangan universiti berkenaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kementerian mesti menjawab segala dakwaan pihak yang secara mudah melabelkan dasar kerajaan kononnya beraliran komunisme serta menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Umpamanya, ada muktamar (parti politik) baru-baru ini, apa yang dibicarakan (mendakwa bahawa) Kementerian Pendidikan sudah rosak kerana (membawa) masuk dan bebasnya aliran komunisme dan LGBT diizinkan diajar di sekolah.

“Itu (mungkin penerimaan) dalam kalangan penyokong-penyokong mereka. Tentunya kita mesti jawab. Saya tidak katakan kita harus ambil tindakan undang-undang tetapi menunjukkan ia tidak mudah dibahaskan (dikawal isu 3R),” katanya.

Anwar berkata, begitu juga sikap sesetengah pemimpin politik yang melabelkan kumpulan tertentu sebagai kafir harbi, berupaya memberi kefahaman salah kepada pengikutnya.

“Sama juga bukan Islam, kalau kita harbikan bukan Islam apa maknanya?… ‘har’ itu perang. Kalau kita kata bukan Melayu atau DAP ini kafir harbi… apabila jelaskan di peringkat bawah, itu bermakna orang yang menentang Perlembagaan (mahu) berperang dengan negara.

“Maknanya, (seolah-olah) memberi ruang (kepada pengikutnya) untuk bangkit berperang kerana mereka itu bukan Islam yang dianggap (kononnya sudah) menyimpang dari semangat bernegara,” katanya.-BH Online