Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kecacatan fizikal akibat kemalangan tidak seharusnya menjadi penghalang seseorang untuk berjaya dalam bidang sukan yang diceburi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ketika ini banyak peluang untuk orang kelainan upaya (OKU) turut menyumbang kepada negara menerusi sukan.

Justeru katanya, semua pihak harus memberi galakan kepada mereka yang cacat akibat kemalangan untuk bangkit dan berlatih secara serius dalam sukan yang diminatinya.

“Ramai belia yang mengalami kecacatan fizikal bukannya dilahirkan sebagai OKU sebaliknya mereka mengalami keadaan itu akibat kemalangan.

“Apabila keadaan itu menimpa, mereka tidak harus berputus asa, sebaliknya mereka perlu berusaha untuk membuktikan kemampuan diri walaupun keadaan fizikal sudah tidak sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan atlet para renang yang akan bersaing pada Para Sukan Malaysia Ke-21 (Para SUKMA XXI) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Hannah berkata, kini sudah terbukti dengan galakan serta usaha berterusan menggilap bakat mereka, ramai OKU berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Beliau menjadikan atlet renang para Sarawak, Mully Andriano Tawan, sebagai contoh mereka yang mahu menyumbang kepada negeri dan negara walaupun fizikalnya mengalami kekurangan.

Mully, 34, mengalami kecacatan kekal apabila tangan kanannya putus akibat kemalangan motosikal pada tahun 2019.

“Selepas kehilangan tangan kanan akibat kemalangan itu, Mully tetap bersemangat dan berani mencuba.

“Kira-kira dua tahun selepas kemalangan dan ketika negara dilanda COVID-19 iaitu pada 2021, dia mula menyertai sukan renang para,” katanya.

Menurutnya lagi, ramai yang beranggapan apabila mengalami kecacatan akibat kemalangan, mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

“Tetapi mereka harus sedar, menjadi atlet OKU salah satu cara untuk mengubah diri sendiri selepas hilang upaya.

“Sukan menjadi pilihan sebagai kerjaya bagi mereka yang mempunyai bakat dan untuk yang berjaya memasuki program podium, mereka mendapat faedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.-BH Online