Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang akan dibentang di Parlimen tahun ini, antara lain mencadangkan denda lebih tinggi dan hukuman penjara bagi kesalahan pencemaran bekalan air.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata cadangan hukuman lebih berat itu akan dibentang di Dewan Rakyat pada November ini dan sudah mendapat kelulusan Kabinet.

“Sebagai usaha membendung pencemaran sungai, kerajaan menubuhkan jawatankuasa bertindak yang saya pengerusikan membabitkan peringkat Persekutuan dan negeri, agensi serta pemegang taruh.

“Banyak perkara diusulkan dalam mesyuarat diadakan, melihat sudut perundangan iaitu cadangan pindaan yang diluluskan Kabinet dan akan dibawa ke Parlimen pada sesi November.

“Kita ingin memperluas definisi sungai dan pencemaran bagi menutup kelompongan perundangan supaya ia lebih jelas untuk diambil tindakan, termasuk sabitan ke atas mereka yang menyebabkan pencemaran sungai.

“Hukuman juga akan ditambah. Dulu denda RM1 juta boleh naik maksimum RM10 juta serta boleh dipenjara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat kebangsaan 2024 di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu di sini, hari ini.

Fadillah berkata, aspek pencegahan adalah perkara paling utama dalam penjagaan sungai, bukan sahaja membabitkan badan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga komuniti setempat.

“Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bersama bertindak ke atas kilang di tepi sungai.

“Kalau boleh, pindahkan. Kalau tak boleh dipindahkan, kita kena pastikan teknologi supaya bahan terkawal dibuang ke tempat sepatutnya dan elak daripada dibuang dan dilepas terus ke sungai,” katanya.

Awal bulan ini, beberapa siri pencemaran bau dipercayai akibat sisa kimia dibuang ke dalam sungai dilapor berlaku di Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, dilaporkan berkata, kerja pembersihan sisa bahan terjadual itu dilakukan di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika.-BH Online