Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Alor Setar: Mangsa banjir di negeri terus meningkat kepada 7,839 mangsa daripada 2,477 keluarga yang ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 1 petang hari ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 7,469 mangsa daripada 2,420 keluarga yang dilaporkan 8 pagi tadi.

Semua jumlah itu membabitkan keseluruhan mangsa di enam daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda, Bandar Baharu dan Pokok Sena.

Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kota Setar mencatatkan peningkatan kepada 3,470 mangsa daripada 1,131 keluarga berbanding

3,292 mangsa daripada 1,072 keluarga pagi tadi.

Semua mangsa banjir di daerah itu ditempatkan di 14 PPS selepas beberapa kampung di kawasan terbabit dinaiki air.

Sementara itu, daerah Kubang Pasu pula terus mencatatkan pertambahan apabila seramai 1,869 mangsa daripada 597 keluarga berbanding 1,811 mangsa daripada 664 keluarga ditempatkan di 11 PPS. 

Selain itu, mangsa banjir di lima PPS Pokok Sena menurun kepada 889 mangsa daripada 272 keluarga berbanding 952 mangsa daripada 290 keluarga pagi tadi.

Dalam pada itu, mangsa di daerah Pendang pula menunjukkan peningkatan seramai 1,291 mangsa daripada 385 keluarga berbanding 1,127 mangsa daripada 329 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS di daerah itu.

Selain itu, daerah Kuala Muda pula masih kekal kepada 184 mangsa daripada 61 keluarga di tiga PPS daerah itu dan daerah Bandar Baharu pula meningkat kepada 138 mangsa daripada 32 keluarga berbanding 128 mangsa daripada 29 keluarga sebelum ini.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan melalui laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan empat sungai di dua daerah di negeri ini mencatatkan paras air melebihi tahap bahaya setakat ini.

Jumlah itu membabitkan dua sungai di daerah Kota Setar manakala dua lagi sungai di daerah Kubang Pasu.

Bagaimanapun, Sungai Padang Terap di Kepala Batas di daerah Kubang Pasu menunjukkan trend menurun manakala tiga lagi sungai iaitu Sungai Bata di daerah Kubang Pasu dan dua lagi sungai iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di Kota Setar menunjukkan trend meningkat.-Harian Metro Online