Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BETONG, 21 September – Penduduk di kawasan luar bandar, khususnya di rumah panjang, diseru untuk lebih aktif dan konsisten dalam menceburkan diri dalam sektor pertanian sebagai usaha membangunkan ekonomi setempat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bahawa potensi sektor kelapa sawit tidak hanya terhad kepada pengeluaran buah sawit, tetapi juga kepada industri biomas yang semakin berkembang pesat.

“Industri biomas yang menggunakan sisa kelapa sawit sebagai sumber kuasa elektrik adalah peluang baharu yang boleh menjana ekonomi.

“Masyarakat rumah panjang perlu melihat jauh ke hadapan dan tidak hanya fokus kepada hasil pertanian tradisional,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan 100 tahun Rumah Panjang Tuai Rumah Entri Lengkoi, Nanga Samu, Paku Betong di sini hari ini.

Menurut beliau, langkah ini seiring dengan usaha kerajaan negeri untuk memperluas penglibatan masyarakat luar bandar dalam pembangunan ekonomi baharu yang berasaskan sumber lestari.

Tambahnya, pembangunan ekonomi biomas dilihat sebagai salah satu kunci kepada kelestarian dan peningkatan pendapatan penduduk di kawasan ini.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata pembangunan di Betong akan terus diberi tumpuan, khususnya dalam memastikan ekonomi penduduk setempat berkembang pesat.

“Kami berhasrat untuk meningkatkan pendapatan rakyat Betong melalui pembangunan infrastruktur moden seperti projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) di Bebuling, Spaoh,” katanya.

Beliau percaya projek ini bukan sahaja akan meningkatkan mobiliti rakyat, tetapi juga membuka peluang untuk pertanian moden berkembang dan menambah nilai ekonomi kepada penduduk Betong.

“Dengan infrastruktur yang baik, kita akan dapat memperluaskan pasaran hasil pertanian kita ke luar negara, sekali gus memajukan ekonomi tempatan,” ujarnya.-Berita RTM