KUCHING: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membentangkan rang undang-undang (RUU) Ordinan Buruh Sarawak dan Pekerja Gig pada persidangan Dewan Rakyat hujung tahun ini.
Menterinya, Steven Sim berkata Ordinan Buruh Sarawak adalah RUU khusus untuk memastikan hak dan perlindungan pekerja di negeri berkenaan.
“Ordinan ini akan dilselaraskan dengan Akta Pekerja 1955 di Semenanjung. Kita akan masukkan pindaan untuk memberikan hak dan perlindungan sama kepada pekerja di Sarawak dengan Semenanjung.
“Contohnya, cuti bersalin daripada 60 hari di Sarawak sekarang, kita naikkan sama dengan Semenanjung iaitu 98 hari manakala cuti paterniti sekarang ini tidak ada di Sarawak dan apabila pindaan dalam ordinan itu, cuti tujuh hari akan diberikan.
“Selain itu, peruntukan seperti anti diskriminasi di tempat kerja yang sekarang kita masukkan dalam ordinan itu selain isu penambabaikan peruntukan pelaporan gangguan sesksual, peruntukan aturan kerja anjal yang sekarang tidak ada dalam Ordinan Buruh Sarawak tetapi ada dalam Akta Pekerja di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selelpas Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif Sarawak Commercial Bank’s Association (SCBA/SBEU) Sarawak 2024-2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sim berkata melalui pindaan itu hak pekerja di Sarawak akan sama dengan tempat lain di Malaysia.
Katanya, ini adalah pindaan yang ditunggu-tunggu oleh pekerja di Sarawak selama lebih 20 tahun.
“Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg antara individu yang amat mengambil berat untuk membentang dan meluluskan RUU Ordinan Buruh Sarawak di Parlimen hujung tahun ini,” katanya.
Mengenai RUU Pekerja Gig, Sim berkata, ia bagi mewujudkan mekanisme perlindungan lebih baik kepada pekerja dalam sektor gig kerana sebelum ini mereka tidak termaktub di dalam takrifan Akta Pekerja.
“Antaranya, mereka tidak boleh mengemukakan aduan atau rayuan di Mahkamah Buruh dan Mahkamah Perusahaan sebab tidak tertakluk kepada definisi pekerja di bawah Akta Pekerja.
“Dalam RUU itu akan ada empat perkara utama iaitu definisi pekerja gig, bayaran pampasan lebih munasabah, mekanisme untuk aduan kehilangan dan RUU itu menyediakan perlindungan keselamatan sosial lebih mantap,” katanya.
Sim berkata draf pertama RUU berkenaan sudah siap dan kini dalam proses untuk diperinci dan ditambah baik.-BH Online