Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Tiada perjawatan baharu bagi pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan, menurut Kementerian Perpaduan Negara.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan kader JAKIM sejak 2006 adalah berdasarkan perjawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi permohonan daripada kementerian dan jabatan kerajaan untuk melaksanakan fungsi hal ehwal Islam sahaja.

Menurut kenyataan itu, ketika ini terdapat seramai 1,250 orang kader JAKIM yang menjalankan fungsi perkhidmatan seperti aspek pembangunan insan merangkumi kemahiran insaniah dan bimbingan fardu ain dan fardu kifayah, keselamatan (kelas agama, pengukuhan akidah, bendung fahaman/ekstrimisme) dan aspek pencegahan meliputi bimbingan dan nasihat agama termasuk kelas al-Quran dan fardu ain.null

Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena pertemuan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) hari ini. 

Pertemuan itu antara lain bertujuan membincangkan isu berkaitan penempatan pegawai JAKIM di jabatan kerajaan dan kementerian selain turut dijelaskan berhubung peranan kader JAKIM yang hanya tertumpu kepada hal ehwal Islam dan tidak berperanan dalam perihal penggubalan dasar atau hala tuju di jabatan.

Menurut kementerian itu, pertemuan tersebut juga menemukan kata sepakat antara semua wakil dan pemimpin agama Islam dan bukan Islam berhubung polemik penempatan pegawai JAKIM.

Dan semua mereka bersetuju memanfaatkan Biro Pengurusan Isu dan Mediasi dalam mencari solusi kepada isu atau sebarang polemik berkaitan.

Biro tersebut terletak di bawah Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang ditubuhkan bagi merapatkan jurang antara badan agama Islam dan bukan Islam selain berkongsi pandangan bagi kesejahteraan bersama.- BERNAMA