IPOH: Kerajaan Perak komited untuk menjadi pemain utama pengeluaran produk halal bagi industri gelatin melalui pemeteraian perjanjian usaha sama (JV) dengan pengeluar produk gelatin halal terkemuka dunia, Leiner Gelatine Sdn Bhd.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata perjanjian usaha sama itu dimeterai antara syarikat dari Pakistan berkenaan dengan kerajaan Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) menerusi anak syarikatnya, Ladang Lekir Sdn Bhd.
Menurut Saarani yang juga Pengerusi Perak SADC, usaha sama itu dimeterai dalam usaha Perak untuk menjadi pemain utama pengeluaran produk halal khususnya industri gelatin yang pada masa ini hanya mewakili sekitar tujuh peratus daripada pengeluaran produk gelatin halal dunia.
Beliau berkata, melalui usaha sama strategik itu kedua-dua pihak bekerjasama membangunkan industri gelatin halal dengan sasaran meningkatkan peratusan penggunaan dan pasaran gelatin halal di Malaysia serta global, sekali gus meletakkan Perak khususnya dan Malaysia amnya sebagai pemain utama industri gelatin halal global.
“Pasaran global gelatin mencatatkan nilai AS$3.7 bilion atau RM15.91 bilion pada 2023 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 6.6 peratus dari 2023 hingga 2028.
“Daripada jumlah ini, hanya kira-kira tujuh peratus merupakan gelatin halal. Dengan potensi besar industri ini di peringkat global, Perak melalui Perak SADC mahu mengorak langkah untuk menjadi pemain utama dalam industri strategik ini.
“Di Malaysia, import gelatin halal mencecah 2,800 tan setahun, bernilai kira-kira RM130 juta, di mana 30.8 peratus daripadanya atau RM40 juta datangnya dari Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemeteraian perjanjian usaha sama itu berlangsung dalam satu majlis sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Halal Malaysia 2024 (MIHAS 2024) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, Ladang Lekir Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Ahmad Yani Aminuddin manakala Leiner Gelatine Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Khawaja Ahmed Hassan, dengan majlis pertukaran perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Saarani.-BH Online