Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan khidmat ejen untuk berurusan dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata MARA tidak pernah melantik atau mengiktiraf mana-mana orang tengah.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta untuk melaporkan kepada beliau sekiranya ada pihak yang mengaku sebagai orang tengah dan akan meminta pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu.

“Menyirap darah saya apabila seorang hamba Allah mengadu kepada saya semalam di Kluang, Johor bagaimana dia terpaksa bayar RM5,000 kepada seorang ejen yang mendakwa boleh bantu percepatkan proses pinjaman perniagaan daripada MARA.

“Saya beritahu dia MARA tidak pernah iktiraf mana-mana ejen atau orang tengah untuk berurusan dengan MARA,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. 

Asyraf berkata, mana-mana pihak yang mendakwa sebagai orang tengah atau ejen adalah ‘scammer’ atau penipu yang cuba mengaut untung atas angin dengan cara menipu.

“Jika ada pegawai MARA yang terbabit, maka MARA tiada kompromi dan akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang seleweng dan culas dalam menjalankan amanah,” katanya.-BH Online