KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) bakal membuat penampilan sulung di luar negara dengan memilih ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai sebagai lokasi pertama.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemilihan Dubai dibuat bagi memanfaatkan statusnya sebagai bandar raya entrepot serta hab utama pasaran Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).
Justeru, katanya, RM1 bilion ditetapkan sebagai sasaran jualan eksport di MIHAS@Dubai, selain yakin ia mampu dicapai oleh syarikat tempatan yang menyertai pameran berkenaan.
Beliau berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga merancang untuk menganjurkan MIHAS peringkat antarabangsa di beberapa negara lain seperti China dan Eropah, pada masa hadapan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi, MITI diberi mandat menerajui penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia Osaka serta bagi tonggak ekonomi sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, tahun depan.
“Kedua-dua pembabitan ini membuka peluang bagi pemain industri halal mengembangkan jejak global mereka melalui program padanan perniagaan akan diselaraskan MATRADE.
“Syarikat tempatan dijemput menyertai pelbagai program berkait ASEAN di Malaysia, dan Ekspo Dunia Osaka yang akan berlangsung selama enam bulan dari April hingga Oktober 2025, bagi meninjau pelbagai peluang perniagaan antarabangsa, terutama di Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian MIHAS Ke-20 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, nilai eksport halal Malaysia mencecah hampir RM55 bilion tahun lalu, iaitu tahun kedua berturut-turut melepasi paras RM50 bilion
Kategori makanan dan minuman (F&B) adalah penyumbang terbesar eksport halal dengan nilai RM29.4 bilion, peningkatan hampir lima peratus berbanding RM27.84 bilion pada 2022, diikuti dengan ramuan halal, kosmetik dan penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia serta farmaseutikal.
“Biarpun berdepan cabaran ekonomi global, Malaysia kekal di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023 (GIEI). Ini dalah pencapaian tahun ke-10 berturut-turut, melambangkan Malaysia sebagai peneraju industri ini di peringkat global.
“Produk seperti makanan tambahan dan berfungsi serta bahan ramuan juga semakin banyak mencari pengiktirafan halal kerana lebih diyakini pengguna dari segi kebersihan dan kualiti,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, bagi perkhidmatan, sektor Kewangan Islam juga diterima dan diguna pakai secara meluas atas prinsip perkongsian risiko dan pelaburan berasaskan nilai Islam seperti keadilan, ketulusan dan tanggungjawab sosial.
“Nilai ini sememangnya selaras prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) yang banyak dipromosi negara bukan Islam.
“Justeru, kerajaan secara proaktif mendukung industri halal, lebih-lebih lagi kerana permintaan produk dan perkhidmatan halal global diramalkan mencecah nilai AS$5 trilion, pada 2030.
“Menerusi Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) syarikat tempatan akan diperkasakan untuk turut merebut peluang berkenaan dengan menyasarkan eksport halal sebanyak RM75.2 bilion atau 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang 2030.” katanya.-BH Online