Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM80 juta melalui penyertaan 26 syarikat halal dan 14 syarikat francais jenama tempatan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata jumlah itu membabitkan sasaran nilai jualan RM30 juta bagi produk industri halal dan RM50 juta bagi produk industri francais.

“KUSKOP pada MIHAS tahun lalu, memperoleh keseluruhan nilai jualan sebanyak RM20 juta menerusi produk industri halal.null

“Kita harap (kali ini) akan lebih ramai pemain industri, syarikat dan pempamer mengadakan perbincangan serta memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama kami sepanjang tempoh tiga hari lagi penganjuran MIHAS kali ini,” katanya selepas merasmikan Pavilion KUSKOP MIHAS dan menyaksikan empat MoU membabitkan syarikat usahawan halal tempatan bersama rakan niaga dalam dan luar negara di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Ewon berkata, penyertaan KUSKOP kali ini bersama usahawan tempatan di MIHAS adalah bukti komitmen kerajaan mempromosikan usahawan tempatan ke peringkat global.

“Kami yakin peluang ini akan memberi manfaat besar kepada usahawan Malaysia memperluaskan jaringan perniagaan mereka, terutama melalui peningkatan kerjasama strategik dengan pelabur antarabangsa,” katanya.

Ewon turut berharap penyertaan kali ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak peluang untuk usahawan tempatan meningkatkan daya saing pada peringkat global. 

“Saya berharap usahawan kita dapat mengambil peluang termasuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa, malah juga untuk membina rangkaian lebih kukuh dan strategik dengan pelabur serta rakan niaga dari seluruh dunia,” katanya.

MIHAS 2024 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berlangsung bermula hari ini hingga Jumaat ini. – BERNAMA